Posted on: 27/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Dasar industri pertahanan dan keselamatan negara akan digubal bagi menyediakan hala tuju menyeluruh dalam mengurangkan kebergantungan aset dan peralatan dari luar negara.

Menurut dokumen Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi hari ini, dasar itu antara lain memberi tumpuan berhubung pembangunan produk dan perkhidmatan serta pembangunan bakat.

“ ….(selain itu adalah) penerimagunaan teknologi serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), yang seterusnya akan mengurangkan kebergantungan tinggi terhadap sumber asing.

“Selain itu keupayaan dan kemampuan pertahanan akan ditingkatkan bagi memelihara kedaulatan negara seperti digariskan dalam Kertas Putih Pertahahan (KPP) menerusi pengukuhan keupayaan ketenteraan dalam aspek perisikan, pengawasan, perolehan sasaran dan peninjauan,” menurut dokumen itu.

Dokumen itu turut memaklumkan mengenai keperluan meningkatkan keselamatan maritim dengan keutamaan terhadap aktiviti pengawasan dan penguatkuasaan serta keberadaan di laut bagi melindungi kepentingan sosioekonomi negara dan keselamatan.

“Diplomasi pertahanan akan dipergiat melalui kerjasama dua hala dan pelbagai hala bagi mengurang dan mengelakkan konflik. Kerjasama dengan negara luar dan rakan strategik akan diperkukuh melalui Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) termasuk menggalakkan latihan dan eksesais secara bersama,” menurut dokumen itu.

Selain itu, dokumen itu memaklumkan mengenai langkah diambil bagi memelihara kedaulatan negara daripada pencerobohan pendatang tanpa izin dan aktiviti di sempadan yang menyalahi undang-undang, serta meningkatkan keupayaan serta kemampuan pertahanan.

“Usaha ini termasuk merangka pelan menyeluruh menguruskan pendatang tanpa izin, menambah baik kawalan sempadan dan memperkukuh diplomasi pertahanan.

“Kawalan sempadan akan ditambah baik melalui operasi bersama dan rondaan sempadan di darat dan wilayah maritim melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi penguatkuasa,” menurut dokumen itu.

Dokumen itu memaklumkan bilangan pos keselamatan di sempadan antarabangsa akan ditambah terutama di Sabah dan Sarawak selain pengawasan diperkukuh melalui penggunaan sistem teknologi terkini.

“Ia merangkumi sensor, radar, kamera litar tertutup dan dron untuk mengimbangi bilangan anggota terhad dan kekangan kawasan yang sukar diakses,” menurut dokumen itu.

Sumber: BERNAMA