Posted on: 27/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kesungguhan penduduk di tiga kampung pesisiran pantai di sini  dalam membantu pasukan keselamatan menangani jenayah rentas sempadan patut dicontohi semua pihak, kata Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Beliau berkata tindakan penduduk Kampung Batu Payung, Kampung Tinagat dan  Kampung Membalua menjadi ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa dengan cara menyalurkan maklumat, berhasil menggagalkan pelbagai cubaan jenayah rentas sempadan. 

“Baru-baru ini, hasil maklumat mereka pasukan keselamatan berjaya mematahkan cubaan mengedar dadah jenis syabu seberat 303 kilogram bernilai hampir RM11 juta yang merupakan rampasan terbesar di negeri ini.

“Saya sangat bangga dengan sumbangan semua penduduk yang terlibat  dan  penghargaan perlu diberi kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada 32 individu termasuk anggota Rukun Tetangga di Kampung Batu Payung, kelmarin.

Nizam  yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Apas, berkata kawasan pesisiran pantai kerap  menjadi sasaran penjenayah menjalankan kegiatan penyeludupan manusia, barang kawalan serta pengedaran dadah.

“Kawasan DUN Apas misalnya, hampir keseluruhan berada dalam lingkungan pesisiran pantai dan sangat terdedah dengan kegiatan jenayah rentas sempadan, ini menjadi kebimbangan penduduk sejak dari dulu lagi,” katanya.

Sementara  itu, beliau berkata Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA)  akan mendirikan pondok kawalan di Kampung Batu Payung sebagai kemudahan kepada anggota yang bertugas.

Sumber: BERNAMA