Posted on: 28/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Zon Selatan negeri Sarawak merangkumi daerah Kuching, Bau, Lundu, Samarahan, Asajaya, Simunjan, Serian dan daerah Tebedu akan beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai 1 Oktober ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu selepas membuat penilaian risiko dan mengambil kira nilai-nilai ambang bagi ketiga-tiga indikator PPN bagi Zon Selatan.

Susulan peralihan tersebut, seluruh Sarawak akan berada dalam Fasa Tiga PPN berkuat kuasa 1 Oktober.

“Prosedur operasi standard (SOP) bagi sektor-sektor khusus boleh didapati di laman web Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak serta Kementerian Belia dan Sukan negeri dengan informasi yang berkaitan akan dimuat naik ke laman tersebut pada minggu ini.

“Bagi pemandu dan pekerja sektor kenderaan yang membawa barangan serta perkhidmatan perlu adalah diwajibkan menjalani saringan ‘RTK-Antigen’ atau ujian air liur setiap tujuh hari selain mendapatkan permit PDRM jika perlu melaksanakan tugas secara merentas daerah dengan kerap atau berkala,” kata JPBNS.

Sebelum ini, Sarawak dibenarkan untuk melaksanakan Fasa Tiga PPN di negeri berkenaan pada 3 Ogos lepas.

Namun JPBN mengambil keputusan menangguhkan pelaksanaan fasa itu di zon berkenaan berikutan angka kes yang masih tinggi di zon tersebut ketika itu.

Sementara itu,  Sarawak hari ini merekodkan 2,723 kes baharu COVID-19 dengan 12 individu mengalami jangkitan paru-paru dan memerlukan bantuan alat pernafasan manakala 2,711 kes lagi adalah mereka yang tidak bergejala dan bergejala ringan.

Sebanyak 19 kematian dilaporkan hari ini, masing-masing tiga kematian direkodkan antara 7 dan 23 September, empat kematian (24 September), 11 kematian ( 25 September) dan satu kematian pada 26 September.

JPBN turut mengisytiharkan dua kluster baharu di Limbang dikenali sebagai Kluster Tembok Limbang yang dikesan melibatkan banduan di Penjara Pusat Limbang, dengan 14 orang dikesan positif daripada 63 individu disaring.

Bagi Kluster Melaban yang dikesan melibatkan penduduk di sebuah rumah panjang pula, sejumlah 37 individu didapati positif daripada 50 orang yang disaring.

Sumber: BERNAMA