Posted on: 28/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Peruntukan RM4.09 bilion untuk Sarawak melaksanakan  Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) merupakan rangsangan yang tiba tepat pada masanya bagi menaik taraf infrastruktur pendidikan selain menyokong inisiatif ekonomi digital negeri ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Prof Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman berkata peruntukan tersebut akan membantu memperhebat pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sarawak. 

“Sarawak perlu melatih lebih ramai modal insan yang berkemahiran teknikal dalam usahanya menghadapi Revolusi Industri Keempat (IR4.0) dan mencapai visinya  menjadi negeri maju, justeru peruntukan tersebut boleh digunakan untuk menaik taraf infrastruktur teknologi, digital  dan telekomunikasi di negeri ini,” katanya kepada Bernama hari ini. 

Menurutnya pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) ketika pandemik COVID-19 tidak dapat dijayakan 100 peratus berikutan capaian internet yang lemah terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Peruntukan itu akan membolehkan lebih banyak menara dan infrastruktur telekomunikasi dibina terutama di kawasan luar bandar bagi meningkatkan kelajuan Internet, sekali gus membolehkan guru dan pelajar meneruskan pembelajaran secara dalam talian,” katanya.

Prof Mohd Fadzil berkata memasukkan cadangan pembinaan Hospital UNIMAS di Kota Samarahan bernilai RM560 juta adalah langkah strategi yang baik bagi meningkatkan tahap penjagaan kesihatan di Sarawak di bawah RMK12 memandangkan projek tersebut dijangka siap pada 2025, sambil menambah hospital berkenaan mengandungi dua unit –  unit penjagaan harian dan hospital pengajar.

Beliau menambah fokus hospital berkenaan adalah untuk memastikan kesejahteraan rakyat terutama di Samarahan yang padat penduduk dan kawasan sekitarnya.

Sumber: BERNAMA