Posted on: 28/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Pasar tani agropelancongan akan diwujudkan di tapak medan gerai buah-buahan segar di Batu 4, Port Dickson dekat sini pada awal tahun depan bagi merancakkan ekonomi dan perniagaan usahawan tani di Negeri Sembilan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Datuk Bakri Sawir berkata buat permulaan pasar tani mingguan Myrakyat diadakan di tapak berkenaan pada setiap hujung minggu melibatkan kira-kira 30 peniaga termasuk, jualan kraftangan dan produk makanan.

“Perkara tersebut (pasar agropelancongan) masih dalam peringkat kajian, buat masa ini kita mengadakan program Myrakyat di Batu 4 pada setiap hujung minggu untuk melihat sama ada mendapat sambutan atau tidak.

“Program jualan tersebut diharap dapat merancakkan lagi sektor perniagaan pertanian sekali gus mempromosikan barangan usahawan tani tempatan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra ke Pasar Tani Ampangan sempena sambutan ulang tahun Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) ke-56 di sini, hari ini.

Katanya sekiranya projek perintis itu mendapat sambutan mengalakkan, kerajaan negeri akan membuka lebih banyak pasar agropelancongan di beberapa kawasan tumpuan pelancongan lain di negeri ini.

Dalam pada itu, Bakri berkata terdapat seramai 553 usahawan pasar tani di seluruh negeri ini yang mencatat nilai jualan keseluruhan RM7.9 juta, sehingga Ogos lepas.

Katanya FAMA Negeri Sembilan telah menaik taraf empat pasar tani di negeri ini termasuk mengecat semua lot dan menukar papan tanda serta akan membuka sepenuhnya 16 pasar tani yang aktif menjelang minggu depan.

Sumber: BERNAMA