Posted on: 28/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) hari ini mengumumkan pengecualian pembayaran bil kepada 28,700 akaun pengguna domestik yang terjejas dalam krisis gangguan bekalan air baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Terengganu Dr Mamad Puteh berkata pengecualian itu adalah untuk dua bulan iaitu bagi bil Oktober dan November.

“Pengecualian bayaran bil ini melibatkan anggaran kos sebanyak RM1.2 juta yang melibatkan penggunaan air sebanyak dua juta meter padu. “Pengguna disaran untuk menggunakan air dengan cermat dan tidak membazir, bagi menghargai niat baik kerajaan negeri untuk meringankan beban rakyat sepanjang tempoh krisis air yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Krisis gangguan bekalan air di dua daerah iaitu Kuala Nerus dan sebahagian Kuala Terengganu itu berlaku pertama kali pada 2 Ogos lepas, berpunca daripada paip bersaiz 1.2 meter pecah di dasar Sungai Terengganu.

Bekalan air bersih pulih secara berperingkat pada 13 Ogos, namun gangguan sama berulang apabila paip yang dibaiki patah semula di lokasi berlainan 10 hari kemudian (23 Ogos).

Bagaimanapun, masalah itu selesai pada 9 Sept apabila bekalan air bersih disalurkan kepada pengguna menerusi pengaktifan sebahagian Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Berapit dengan keupayaan 60 juta liter sehari.

Sumber:BERNAMA