Posted on: 28/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Terengganu dijangka beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) selewat-lewatnya pada hujung Oktober depan, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata ia berdasarkan petunjuk dan perkembangan semasa seperti kadar peratusan lengkap divaksinasi bagi populasi dewasa yang sehingga kini telah mencapai tahap 82.7 peratus manakala bagi dos pertama telah melebihi 90 peratus.

“Insya-Allah esok akan ada mesyuarat khas di peringkat pusat mengenai jawatankuasa khas pandemik yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Dalam mesyuarat tersebut, perkara ini (peralihan fasa) juga diteliti dan kalau ikut keadaan semasa, kita jangka akan dapat beralih ke fasa seterusnya (Fasa Empat) paling lewat sebulan lagi,” katanya selepas melakukan tinjauan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Berangan di sini, hari ini.

Seramai 1,470 pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga dari empat sekolah menengah di daerah Marang menerima dos pertama sebagai persediaan pembukaan sesi persekolahan Oktober ini.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS berkata Terengganu akan menjadi tuan rumah bagi Muktamar Tahunan PAS Kali ke-67 yang dijadual berlangsung pada 6 hingga 7 Nov depan.

Oleh itu segala perancangan dan persiapan telah mula dibuat bagi memastikan perjalanan muktamar termasuk pemilihan jawatan tertinggi parti berjalan lancar.

“Muktamar ini tidak boleh ditangguhkan lagi dan kami akur dengan arahan Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk diadakan sebelum 31 Dis,” katanya.

Sumber: BERNAMA