Posted on: 29/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Krisis pandemik COVID-19 menuntut penyesuaian ketara serta cabaran baharu dalam bidang pendidikan yang perlu ditangani pemimpin berdaya tahan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata ketika negara berdepan pandemik, perubahan ketara dalam masyarakat, organisasi dan individu membawa ketidaktentuan dalam sistem konvensional.

Beliau berkata, berikutan itu pemimpin berdaya tahan akan mengambil peluang ini untuk terus berkembang dan mengadaptasi menjelang fasa pemulihan.

Katanya, pemimpin sedemikian bukan saja akan pulih daripada kesan pandemik terhadap sistem sedia ada, sebaliknya akan mara selepas membina dan menggabungkan sikap, kepercayaan, ketangkasan dan struktur baharu ke dalam pemikiran mereka.

Menurutnya, berdasarkan penakrifan oleh pakar tingkah laku, Dr Joseph Folkman, pemimpin berdaya tahan adalah mereka yang melihat kegagalan sebagai gangguan sementara yang membolehkannya pulih dengan segera.

“Pemimpin berdaya tahan bermula dengan membayangkan bagaimana bentuk kejayaan selepas fasa pemulihan itu selesai. Pemimpin akan merangka pelan lebih agresif dan imaginatif dengan menentukan matlamat terlebih dahulu.

“Mereka perlu memotivasikan pasukan untuk berdepan dengan kesukaran ini. Kepemimpinan yang hebat pula memerlukan lebih pengikut yang dipupuk dengan kepercayaan.

“Kepercayaan menghasilkan kesan ketara daripada segi pertumbuhan ekonomi dan nilai pemegang taruh, peningkatan kreativiti, kestabilan masyarakat yang lebih kukuh dan kesihatan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Persidangan Antarabangsa kedua mengenai Kepemimpinan dan Pengurusan Pendidikan 2021 (2nd ICELAM 2021) hari ini.

Radzi berkata, pengurusan sekolah perlu berkeyakinan dalam struktur dan operasi masing-masing untuk membolehkan ia pantas mengubah sekatan dasar dalam masa singkat, sambil mengawasi kejayaan jangka panjang pelajar.

Beliau berkata, kesukaran yang dihadapi juga tidak terhenti setakat itu, sebaliknya akan lebih banyak cabaran bakal dihadapi pada masa mendatang.

Berikutan itu, beliau berkata, negara memerlukan kohort pemimpin berdaya tahan baharu yang mampu berdepan dengan cabaran berkenaan, memupuk kesungguhan, melengkapi mereka dan sekolah masing-masing dengan kebolehan untuk bertahan bahkan berkembang dalam normal baharu.

“Pemupukan pendekatan berdaya tahan di sekolah adalah kuncinya. Adalah amat penting untuk semua guru dan pelajar menghargai kepentingan peranan mereka dan menanamkan minda seorang peneroka berdaya tahan dalam usaha mereka mencari pengetahuan.

“Hampir semua pemimpin perlu berdepan dengan krisis. Pandemik ketika ini tidak pernah dialami lebih seabad lamanya. Dalam situasi peralihan, pemimpin berdaya tahan perlu bertindak balas dan menyesuaikan diri dengan keadaan berubah-ubah di seluruh organisasi.

“Gaya kepemimpinan yang sebelum ini bermanfaat dengan anda perlu dipertimbangkan semula dan diubah berdasarkan krisis yang tidak biasa dan tidak dijangka ini,” katanya.

Beliau turut menghargai usaha guru dan pentadbir yang bersikap anjal serta kreatif dalam menyampaikan pendidikan sama ada secara dalam talian atau fizikal.

Katanya, kerajaan dan pemegang taruh perlu terus bekerjasama dalam memastikan pelajar dapat meneruskan pembelajaran dan berkembang.

“Orang bawahan anda mungkin memerlukan anda untuk kekuatan emosi dan keberanian dalam masa sukar ini. Jika pemimpin dilihat mengamalkan kepemimpinan berdaya tahan, mereka akan memperlihatkan sikap positif yang membantu orang lain mengekalkan kekuatan emosi dan keberanian yang diperlukan dalam berpegang kepada visi yang sama dan mengatasi cabaran.

“Saya percaya dengan bersama-sama, kita dapat melalui masa yang sukar ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian