Posted on: 29/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Sebanyak lapan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kedah bagi menempatkan 210 mangsa banjir daripada 66 keluarga di daerah Sik dan Baling.

Menurut Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, daripada jumlah itu tujuh PPS dibuka di Baling manakala selebihnya di Sik dengan operasi pemindahan mangsa masih dijalankan di Baling setakat pagi ini berikutan air masih belum surut.

“PPS di Baling ialah di SK (Sekolah Kebangsaan) Tunku Putera, SK Siong, SK Bandar, SK Tanjung Pari, SK Bayu, SK Titi Gantung dan Dewan Banggol Derom yang menempatkan 149 orang daripada 51 keluarga manakala 61 orang daripada 15 keluarga ditempatkan di SK Gulau (Sik),” kata jurucakap itu dalam kenyataan hari ini.

Jurucakap itu memaklumkan keadaan beberapa kawasan di daerah Yan serta Gurun (Kuala Muda) yang turut dilanda banjir malam tadi sudah kembali normal berikutan air telah pun surut.

Hujan lebat selama beberapa jam bermula lewat petang semalam menyebabkan beberapa kawasan di daerah Sik, Kuala Muda, Yan dan Baling dinaiki air malam tadi.

Video mengenai banjir di beberapa kawasan dalam daerah Yan itu juga tular dalam media sosial malam tadi.

Sumber : BERNAMA