Posted on: 30/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Seramai 20,053,472 individu atau 85.7 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam.

Berdasarkan perincian yang dikongsi menerusi portal COVIDNOW hari ini, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sebanyak 94.1 peratus atau 22,017,043 individu daripada populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin. 

Selain itu, seramai 40,206 atau 1.3 peratus daripada populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah melengkapkan suntikan vaksin setakat semalam. 

Bagi kedua-dua populasi, sebanyak 310,661 dos suntikan vaksin turut diberikan semalam melibatkan 190,599 dos pertama dan 148,062 dos kedua menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos vaksin sebanyak 43,367,580 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). 

PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.

Sementara itu, sebanyak 208 kes kematian akibat COVID-19 dicatatkan setakat pukul 11.59 malam tadi (29 Sept), menjadikan jumlah kumulatif kematian kini adalah 26,143.

Daripada jumlah itu, sebanyak 88 adalah kes kematian harian sebenar selama tujuh hari, manakala selebihnya adalah kes kematian tertunggak atau ‘backlog’. 

Bagaimanapun, angka itu boleh berubah sekiranya terdapat kes kematian yang dikemas kini.

Sebanyak 68 daripada jumlah kematian baharu itu dilaporkan berlaku di luar hospital (BID). 

Sumber: BERNAMA