Posted on: 30/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Pusat penjaja baharu, D’ Laman Rasa di pekan Sungai Besi di sini yang akan menempatkan 64 penjaja, dijangka memulakan operasi perniagaan secara berperingkat bermula 1 Oktober ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata pusat penjaja yang dibina bermula tahun 2016 itu, menempatkan semula penjaja tepi jalan di sekitar pekan Sungai Besi.

“Saya  berharap dengan siapnya pusat penjaja D’laman Rasa Sungai Besi ini, ia dapat  memberikan keselesaan  bukan sahaja  kepada penjaja, tetapi juga kepada pengunjung dan secara tidak langsung meningkatkan kualiti mutu perniagaan,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan kunci dan lesen perniagaan pusat penjaja itu semalam.

Beliau berkata kadar sewaan kepada penjaja ditetapkan  antara RM240 dan RM300 sebulan, namun  bayaran sewa dikecualikan sehingga Disember ini, selain pengurangan bayaran fi lesen sebanyak 50 peratus kepada peniaga.

Shahidan turut mengingatkan para penjaja supaya  sentiasa mematuhi syarat yang telah ditetapkan dalam lesen perniagaan, dan  menjaga kebersihan serta memelihara harta benda premis perniagaan.

Sementara itu, seorang penjaja Mohd Khalid Ishak, 56, berharap premis perniagaan baharu itu dapat meningkatkan lagi hasil jualannya.

“Saya dulu jual karipap panas di tepi kaki lima dekat pusat pakaian Hari-Hari dan bercadang untuk mempelbagaikan menu jualan setelah berpindah di premis baharu ini,” katanya yang telah berniaga hampir 30 tahun.

Sumber: BERNAMA