Posted on: 01/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Program Bantuan Perakaunan dan Pengauditan kepada Koperasi Kecil dan Mikro (PAKAR) di bawah kelolaan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dapat membantu meningkatkan prestasi pengauditan melalui pemberian geran padanan kepada kluster kecil dan mikro.

Pengarah Bahagian Audit Koperasi SKM, Marcellinus Andreas berkata inisiatif itu membantu koperasi kluster kecil dan mikro yang menghadapi masalah bagi penyediaan akaun dan pengauditan serta meringankan beban koperasi yang kurang mampu dari segi kewangan dan kemahiran untuk menyediakan akaun.

“Sejak diperkenalkan pada 2020, PAKAR bertujuan meningkatkan kemahiran koperasi berkaitan penyenggaraan akaun dan menyediakan akaun untuk diaudit pada tahun kewangan berikutnya.

“Justeru, koperasi dapat mengukur prestasi kewangan berdasarkan akaun yang telah diaudit di samping memudahkan pihak berkepentingan untuk membuat keputusan ekonomi dengan tepat serta berkesan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata bagi kelayakan memperoleh bantuan PAKAR, koperasi perlu aktif dan mempunyai tunggakan akaun sekurang-kurangnya dua tahun kewangan.

Bagaimanapun, bantuan itu juga terbuka kepada koperasi yang tidak aktif tetapi berpotensi untuk dipulihkan, katanya.

Marcellinus berkata bantuan tersebut dikategorikan kepada pelan jangka pendek dan pelan jangka panjang dengan fokus berbeza.

Beliau berkata pelan jangka pendek pula meliputi dua jenis bantuan iaitu bantuan penyediaan akaun koperasi (Bantuan Akaun) dan bantuan pengauditan koperasi (Bantuan Audit).

“Pelan jangka panjang pula adalah bantuan sistem perakaunan yang akan diberikan secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun,” katanya.

Mengenai pemberian dividen, beliau berkata sehingga 31 Ogos, 2021, SKM menerima 188 permohonan pembayaran dividen atas modal syer berjumlah RM86.7 juta dan modal yuran berjumlah RM171.7 juta.

Daripada jumlah permohonan itu, SKM meluluskan 174 permohonan berjumlah RM84 juta atas modal syer dan RM101 juta atas modal yuran, katanya.

“Permohonan ini melibatkan cadangan pembayaran dividen melebihi kadar 10 peratus, koperasi yang mempunyai kerugian terkumpul atau koperasi menggunakan mana-mana sumber selain keuntungan bersih tahun semasa selaras dengan Seksyen 57 Akta Koperasi 1993 dan GP2: Garis Panduan Permohonan Pembayaran Dividen oleh Koperasi (Pindaan 2012),” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun, koperasi perlu mendapat kelulusan menerusi mesyuarat agung tahunan terlebih dahulu sebelum pembayaran dividen dibuat kepada anggota koperasi.

Sumber : BERNAMA