Posted on: 01/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Dalam usaha menyampaikan maklumat yang sahih dan tepat khususnya berkaitan vaksin COVID-19 serta bencana di kawasan pedalaman, Kelab Radio Amatur Pedalaman Bawah Sabah (SLIARC) turut memainkan peranan tersendiri.

Timbalan Pengerusi SLIARC Abd Dini Anjin  berkata ahli kelab  yang kebanyakannya terdiri daripada anggota barisan hadapan memberi kelebihan kepada kelab untuk menyampaikan maklumat yang tepat dan penting berkaitan hal dan perkembangan semasa.

Pesara Kementerian Kesihatan (KKM) itu berkata selain barisan hadapan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), ahli kelab itu juga datang daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan pekerjaaan.

“Ahli-ahli SLIARC ini akan memainkan peranan masing-masing menjelaskan dan membantu komuniti setempat memahami maklumat sebenar khususnya berkaitan virus COVID-19, vaksin dan berita palsu,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) kelab itu menetapkan setiap ahlinya agar tidak menyalurkan sebarang maklumat yang belum mendapat kesahihan daripada agensi dan pihak berkuasa berkaitan.

Mengulas lanjut peranan SLIARC, Abd Dini berkata kelab yang ditubuhkan pada Mac 2013 itu juga membantu pihak berkuasa terutamanya di daerah Beaufort apabila berlaku bencana seperti banjir.

“Semua sedia maklum daerah Beaufort antara kawasan yang sering ditenggelami banjir, jadi dalam situasi itu SLIARC bersedia sekiranya Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) memerlukan bantuan komunikasi,” katanya. 

Beliau berkata penggunaan peralatan komunikasi mudah alih atau ‘walkie-talkie’ membolehkan maklumat dari kawasan berisiko disalurkan kepada pihak berkuasa dengan segera.

Katanya peralatan itu mudah dibawa kerana gelombangnya mampu mencapai sehingga lima kilometer dan amat memberi manfaat di kawasan yang kurang talian Internet.

Selain itu, ‘mobile rig’ juga dipasang dalam kenderaan atau diletakkan pusat kawalan dan gelombangnya mampu mencapai jarak komunikasi antara 100 hingga 150 kilometer.

“Antena adalah peralatan paling penting dalam radio amatur kerana ia menentukan jarak komunikasi. Semakin tinggi antena itu akan meningkatkan lagi komunikasi dengan lebih jelas,” katanya.

Beliau berkata pancar ulang juga penting untuk menyambungkan audio antara satu tempat ke tempat yang lebih jauh dan biasanya ia terletak di kawasan tanah tinggi.

Mengimbas kembali penubuhan kelab yang berpangkalan di Beaufort, Abd Dini berkata ia adalah hasil gabungan peminat radio amatur dari daerah berhampiran antaranya Tenom, Sipitang, Kuala Penyu, Menumbok, Membakut termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.

SLIARC  dianggotai 198 ahli dan pernah menyertai beberapa pertandingan antaranya World Wide WPX pada September tahun lepas  dan bulan lepas, Japan International DX pada November 2017 dan Padang DX pada November 2020 sebagai tanda sokongan kepada kelab radio amatur antarabangsa.

Sumber: BERNAMA