Posted on: 01/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Batu, daerah Kulai petang semalam bagi menempatkan 74 mangsa selepas kediaman mereka di kawasan Kampung Bukit Batu, dinaiki air.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kulai dalam kenyataan hari ini memaklumkan, PPS tersebut dibuka pada pukul 6 petang berikutan kejadian banjir berpunca daripada hujan lebat lebih tiga jam dan limpahan air sungai dari Sungai Ulu Pontian.

“Setakat 8 pagi ini, seramai 74 mangsa banjir daripada 22 keluarga dari kawasan terjejas iaitu Jalan Benteng dan Jalan Masjid di Kampung Bukit Batu ditempatkan di PPS berkenaan.

“Keadaan cuaca di kawasan berkenaan masih mendung dan pemantauan berterusan oleh agensi berkaitan di kawasan berisiko dilakukan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

Selain Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, agensi terlibat termasuk Pejabat Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Polis Diraja Malaysia.

Sumber: BERNAMA