Posted on: 01/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 380 orang daripada 131 keluarga yang ditempatkan di 17 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah iaitu Sik, Baling dan Kulim, pagi ini.

Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Saifuddin Abdullah berkata jumlah mangsa meningkat 117 orang berbanding 263 mangsa yang dipindahkan malam tadi.

“Bagi Sik, setakat 8 pagi tadi seramai 28 orang daripada enam keluarga dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gulau dan SK Sik yang masing-masing dibuka pada Selasa lepas dan semalam.

“Sementara di Baling, seramai 325 mangsa daripada 115 keluarga dipindahkan ke 14 PPS yang dibuka antara Selasa hingga semalam, sementara di Kulim satu PPS dibuka di SK Merbau Pulas semalam yang menempatkan 27 mangsa daripada 10 keluarga,” katanya.

Katanya PPS di Baling terdiri daripada SK Tunku Putera, SK Siong, SK Bandar, SK Tanjung Pari, SK Bayu, SK Titi Gantung, Dewan Banggol Derom, Maktab Mahmud Baling, SK Malau, SK Parit Panjang, PPS Kampung Padang Kupang, SK Mohd Ariff Abdullah, SK Tembak A dan SK Jemerli.

Sumber: BERNAMA