Posted on: 04/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kementerian Perpaduan Negara sedang membangunkan Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia untuk menyokong aspirasi Keluarga Malaysia bagi mencapai hasrat ditetapkan, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata pelan itu bersifat inklusif dengan menjadikan perlembagaan dan Rukun Negara sebagai teras utama dalam pembinaan sebuah masyarakat  harmoni dan sejahtera.

Menurutnya, pelan itu mempunyai objektif iaitu memahami konsep perpaduan dalam konteks Keluarga Malaysia, mewujudkan aspirasi yang jelas untuk dicapai dalam tempoh 10 tahun akan datang serta menggariskan anjakan strategi dan inisiatif baharu bersasar serta komprehensif.

“Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia ini adalah juga untuk menterjemahkan Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Nasional dalam bentuk pelaksanaan program dan inisiatif yang lebih terancang dan merentasi pelbagai agensi termasuk agensi kerajaan, swasta, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan komuniti,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Muhammad Zahid Md Arip yang ingin tahu definisi, konsep, matlamat serta pelan tindakan gagasan Keluarga Malaysia, selain cara kerajaan memastikan slogan itu tidak menimbulkan kekeliruan.

Menurut Halimah, frasa Keluarga Malaysia menekankan kepada persamaan, kesepakatan dan bersifat inklusif, merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.

“Pengamalan nilai-nilai murni akan menjadi tunjang bagi melahirkan sebuah Keluarga Malaysia yang makmur berasaskan kepercayaan, perpaduan dan toleransi,” katanya.

Sumber: BERNAMA