Posted on: 05/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Tema ‘Akademia Diperkasa, Digitalisasi Dibudaya’ yang diangkat sempena Sambutan Hari Akademia Kebangsaan tahun ini memberikan penekanan kepada usaha memperkasakan agenda pendigitalan pendidikan tinggi negara dalam mendepani persekitaran norma baharu.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata tempoh krisis dan pemulihan  berpanjangan memerlukan setiap pihak untuk mencari penyelesaian lebih kreatif dan inovatif bagi memastikan kelestarian institusi pendidikan tinggi terpelihara. 

Katanya sistem pendidikan negara sedang mengalami transformasi dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) tidak lagi berasaskan dimensi fizikal atau ‘place-based’ semata-mata tetapi dihubungkan dengan pantas melalui rangkaian perkhidmatan pendidikan sama ada di peringkat nasional atau pun global.

Malah konsep virtual learning melalui platform seperti Massive Open Online Courses atau MOOCs, Open Educational Resources dan Flipped Classroom Online telah secara drastik muncul sebagai sebahagian daripada inovasi disruptif.

“Dalam hal ini saya percaya kedua-dua konsep PdP konvensional dan kontemporari perlu digabung jalinkan dalam menghasilkan sistem pendidikan yang memudahkan kedua-dua pihak iaitu pengajar dan pelajar,” katanya ketika merasmikan majlis sambutan Hari Akademia Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 secara dalam talian, hari ini. 

Justeru  Noraini berkata Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mengambil pelbagai langkah bagi menyesuaikan modul  pembelajaran kaedah penilaian yang lazim dengan persekitaran digital.

Tidak hanya tertumpu kepada pemerkasaan infrastruktur seperti  menaik taraf Malaysian Research and Education Network (MYREN), KPT turut beriltizam memastikan kapasiti serta kompetensi tenaga pengajar ditingkatkan khususnya dalam mengendalikan teknologi bagi memastikan matlamat pendigitalan pendidikan tinggi negara dicapai secara tuntas. 

Beliau berkata dalam konteks sektor pengajian tinggi negara pada masa ini,  institut pengajian tinggi (IPT) seharusnya menjadi tanda aras ketamadunan dan ketinggian intelektual masyarakat.

Katanya  indikator bagi IPT yang terbaik adalah  yang mampu menghasilkan impak bukan sahaja terhadap warganya  malah turut memberi manfaat kepada masyarakat secara umum.

“Impak yang dimaksudkan ini adalah merujuk kepada memberikan penyelesaian terhadap isu dan cabaran yang wujud dalam kalangan masyarakat, sama ada yang bersifat struktural mahupun isu-isu semasa yang memerlukan penyelesaian segera,” katanya dan menambah IPT perlu sentiasa menawarkan idea baharu yang berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat.

Dalam ucapannya Noraini merakamkan penghargaan kepada semua pensyarah, tenaga pengajar dan ahli akademik seluruh negara atas jasa dan khidmat bakti yang dicurahkan khususnya dalam pembangunan pendidikan tinggi.

Beliau turut mengajak pihak terlibat sebagai satu Keluarga Malaysia untuk menggerakkan usaha membina inovasi pembelajaran dan pendigitalan sistem pendidikan serta bersedia mendepani cabaran digitalisasi.

Sumber: BERNAMA