Posted on: 05/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Sebahagian besar pelancong di Langkawi cenderung membuat tempahan tiket pengangkutan, penginapan dan tiket lawatan secara persendirian, demikian menurut pemantauan dan kaji selidik Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Dalam pemantauan  terhadap aktiviti pelancongan domestik di Langkawi selama tiga hari iaitu 1 hingga 3 Oktober lepas mendapati terdapat pelancong yang menggunakan khidmat pengusaha pelancongan yang tidak berlesen dan tidak berdaftar dengan MOTAC.

“Hasil soal selidik mendapati kebanyakan pelancong yang berkunjung ke Langkawi menerusi gelembung pelancongan berpuas hati terhadap khidmat pengusaha pelancongan yang disediakan di sepanjang percutian mereka,” menurut MOTAC dalam kenyataan hari ini.

MOTAC dalam kenyataan itu menyeru orang ramai agar menggunakan perkhidmatan pengusaha pelancongan berlesen dan berdaftar dengan MOTAC serta menasihati pengusaha tidak berlesen agar memohon lesen dengan MOTAC bagi mengelakkan dikenakan tindakan penguatkuasaan.

Menurut MOTAC, aktiviti pemantauan yang dijalankan adalah untuk menyampaikan mesej kepada penggiat industri pelancongan bahawa MOTAC sentiasa memberi penekanan terhadap aspek penguatkuasaan serta pematuhan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) dari semasa ke semasa.

Fokus pemantauan adalah untuk melihat sejauh mana syarikat pengendalian pelancongan dan perniagaan agensi pengembaraan (TOBTAB) patuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di samping mendapatkan reaksi orang ramai yang melancong dalam suasana norma baharu.

Antara lokasi yang dijalankan pemantauan adalah sekitar Kilim Geoforest Park, Tanjung Rhu, Langkawi SkyCab, Taman Hidupan Liar Langkawi, Pantai Chenang, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Terminal Jeti Kuah.

“Pelaksanaan aktiviti pemantauan SOP ini bertujuan untuk memastikan Keluarga Malaysia dapat melancong ke Langkawi dengan selamat dan secara tidak langsung boleh membantu dalam menjana semula pendapatan negara melalui aktiviti pelancongan domestik,” katanya.

Kejayaan Gelembung Pelancongan Langkawi itu juga boleh dijadikan penanda aras untuk membolehkan destinasi pelancongan lain mengadaptasi SOP dan kaedah pengurusan yang baik setelah negara mencapai kadar vaksinasi lengkap penduduk dewasa sebanyak 90 peratus, menurut MOTAC.

Menurut MOTAC,  seramai 400,000 pelancong disasarkan berkunjung ke Langkawi hingga Disember ini.

Sumber: BERNAMA