Posted on: 05/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana penting  untuk diterapkan kepada masyarakat sehingga ia menjadi sebagai satu budaya Keluarga Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Beliau berkata kejadian bencana yang hadir dalam pelbagai bentuk dan semakin kerap berlaku mewajarkan untuk masyarakat sentiasa bersiap sedia. 

Katanya budaya kesiapsiagaan bukan hanya amalan pada Oktober bersempena sambutan Bulan Kesiapsiagaan Negara (BKN) sahaja tetapi perlu menjadi norma berterusan sehingga dapat mencapai daya tahan masyarakat.

Menurut Abdul Latiff, seperti yang ditekankan dalam Sendai Framework for Disaster Risk Reduction 2015-2030, pengurangan risiko bencana adalah tanggungjawab yang perlu dikongsi bersama selain membudayakan latihan secara bersepadu, terencana serta berkesinambungan.

“Semua rakyat perlu berusaha untuk memaksimumkan tahap kesiapsiagaan bencana bagi memastikan keselamatan nyawa diutamakan dan meminimumkan kemusnahan infrastruktur serta mengurangkan kerugian kepada masyarakat, industri, kerajaan dan negara secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan sempena Pelancaran BKN 2021 hari ini.

Pelancaran BKN 2021 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia Siaga Bencana’ itu dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di perkarangan laman Kompleks Perbadanan Putrajaya hari ini.

Sambutan itu juga selaras dengan sambutan Hari Bencana Antarabangsa yang disambut pada 13 Okt setiap tahun.

Abdul Latiff berkata negara juga menyambut sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional pada Oktober setiap tahun, yang bertujuan meningkatkan tahap kesedaran dan kesiapsiagaan pelbagai pihak terhadap bencana khususnya bagi menghadapi musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut.

Beliau berkata sepanjang bulan ini terdapat 36 program dan aktiviti dirancang oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama pelbagai jabatan, agensi dan badan bukan kerajaan antaranya program Community Based Disaster-Risk Management, Webinar: Mengenali Hazad Dan Bencana Di Dalam Dan Sekitar Malaysia serta Forum Iklim Kebangsaan-Monsun Timur Laut 2021/2022.

Selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan pengurangan risiko bencana sebagai agenda penting negara, beliau berharap semua pihak dapat memberikan komitmen yang tinggi.  

“Kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan koordinasi dan penyelarasan pengurusan bencana dapat diuruskan dengan lebih cekap dan efisien agar mangsa bencana mendapat perlindungan serta bantuan yang sewajarnya daripada semua pihak,” katanya.

Sumber: BERNAMA