Posted on: 05/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kementerian Pendidikan, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini mengumumkan kerjasama strategik untuk mewujudkan Program Inovator Digital (DIP), program pendidikan menengah pertama Malaysia untuk inovator muda berbakat.

Menteri Kanan Pendidikan  Datuk Dr Radzi Jidin berkata mereka yang terlibat akan menjadi sebahagian daripada Pusat GENIUS@Pintar Negara, UKM dan akan memberi tumpuan kepada teknologi digital, keusahawanan dan kurikulum pembelajaran berasaskan projek.

“Ini akan memastikan pengembangan bakat digital terbaik  yang konsisten untuk mengekalkan dan mengembangkan ekonomi digital kita. DIP adalah landasan teknologi digital khas untuk memupuk generasi baharu inovator digital negara ini.

“Melalui landasan baharu ini, pelajar yang berkebolehan tinggi dalam inovasi digital dan kreativiti akan dapat mendalami minat mereka dengan mengikuti pendidikan menengah yang fokus di Pusat GENIUS@Pintar Negara dan melanjutkan pelajaran mereka dalam bidang yang sama di peringkat pengajian tinggi,” katanya semasa merasmikan DIP yang diadakan secara maya hari ini.

Radzi berkata dengan pelaksanaan DIP, ia akan mempercepat proses melahirkan lebih banyak inovator yang sedia untuk memanfaatkan ABCD teknologi digital untuk Malaysia, seperti kecerdasan buatan (AI), blockchain, pengkomputeran awan dan sains data.

DIP dibina berdasarkan program MDEC yang berjaya, Digital Ninja, inisiatif luar kurikulum yang dianjurkan untuk pelajar Tingkatan Satu hingga Lima semasa cuti sekolah, dan menghasilkan 515 inovator digital muda berpotensi tinggi dalam tempoh lima tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Mahadhir Aziz berkata program itu bertujuan untuk melahirkan pencipta dan inovator digital bagi merealisasikan matlamat yang ditetapkan dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).

“Memiliki program pendidikan menengah untuk pelajar pintar, yang menggunaka pakai faktor utama kejayaan Program Ninja Digital, selain penglibatan yang berterusan antara pelajar, guru dan mentor industri akan membantu memupuk lebih banyak inovator di negara ini,” katanya.

Sumber: BERNAMA