Posted on: 05/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Semua universti awam (UA) perlu mematuhi arahan mengurangkan yuran pengajian sebanyak 20 peratus kepada pelajar bagi semester pertama sesi 2021/2022.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata arahan itu telah dikeluarkan kepada semua UA terlibat sebelum ini.

“Langkah ini selaras dengan usaha KPT (Kementerian Pengajian Tinggi)  untuk terus mempertingkat  usaha ke arah menjaga kebajikan mahasiswa khususnya di bawah inisiatif #KPTPrihatin,” menurutnya dalam kenyataan 3 Oktober lepas.

Beliau juga berkata dalam keadaan pandemik COVID-19 yang banyak menjejaskan kehidupan masyarakat  terutama  dari segi ekonomi, kenaikan yuran tidak seharusnya berlaku.

Terdahulu, beberapa media melaporkan Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya menggesa universiti itu memberi maklum balas berhubung isu kenaikan yuran pengajian kepada pelajar baharu sesi 2021/2022.

Ia susulan kenaikan yuran sebanyak 10 hingga 60 peratus yang dikenakan universiti itu dianggap tidak munasabah dalam situasi negara ketika ini.

Sumber: BERNAMA