Posted on: 05/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang bersiap siaga bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut yang dijangka bermula awal bulan depan.

Pengarah APM Pahang Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata  persiapan dari segi  latihan sedang dilakukan bagi menghadapi musim tengkujuh kali ini dan seramai 1,199 anggota serta pegawai yang berada di 11 daerah di negeri ini, akan terlibat dalam penugasan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Menyentuh tentang aset, beliau memaklumkan APM Pahang mempunyai 74 kenderaan air merangkumi bot jenis aluminium, fiber dan tempur, manakala 40 kenderaan darat meliputi kereta, lori, bas, ambulans dan pacuan empat roda.

“Dari segi aset kita akan mohon penambahan daripada ibu pejabat, antaranya kenderaan 4X4. Seperti yang diketahui umum, Pahang merupakan negeri yang besar dan penambahan aset diperlukan bagi memudahkan dan melancarkan lagi operasi,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Retreat Kesiapsiagaan Menghadapi Monsun Timur Laut Peringkat APM Pahang di sini hari ini.

Menjawab soalan pemberita mengenai pembekuan cuti anggota APM, beliau berkata perkara itu akan dipertimbangkan dan bergantung pada situasi semasa. 

“Sekiranya rentas negeri dibenarkan tidak lama lagi, rasanya wajar bagi saya memberi kelonggaran kepada mereka untuk bercuti, kerana terdapat ramai anggota yang sudah lama tidak pulang ke kampung masing-masing berikutan wabak COVID-19 ini,” katanya.

Mengulas mengenai program hari ini, Che Adam berkata seramai 75 pegawai dan anggota menjalani latihan simulasi melibatkan kaedah pemakaian dan pembukaan peralatan perlindungan diri (PPE), teknik menggunakan khemah boleh dilipat dan penerangan mengenai penyelenggaraan enjin bot serta peralatan operasi, sebagai persiapan untuk melicinkan operasi pada musim banjir kelak.

Pada program itu, pengamal media turut menerima sijil penghargaan daripada APM selain pengagihan sebanyak 200 pek makanan kepada anggota yang bertugas di lapangan.

Sumber: BERNAMA