Posted on: 05/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM13.0 bilion, melepasi sasaran bagi tahun 2021 iaitu sebanyak RM12.0 bilion walaupun masih berdepan cabaran pandemik.

ECER dalam satu kenyataan hari ini berkata pelaburan ini dijangka akan mewujudkan lebih daripada 10,600 peluang pekerjaan baharu serta 570 peluang keusahawanan di seluruh ECER.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Baidzawi Che Mat berkata ECERDC telah mengambil peluang untuk bekerja dengan cara yang berbeza dan bekerjasama dengan kerajaan negeri serta pelbagai agensi.

“Antara agensi itu ialah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO) dan juga Wakil Dagang Persekutuan Rusia di Malaysia dalam menganjurkan webinar untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI),” katanya.

Pelaburan komited yang berjaya ditarik setakat ini adalah bukti kejayaan usaha ECERDC, katanya.

Beliau berkata kerajaan persekutuan menerusi ECERDC telah memastikan pelaksanaan projek infrastruktur strategik dan projek-projek baharu di ECER diteruskan bagi mengekalkan daya saing ECER sebagai destinasi pelaburan.

“Ini telah membolehkan ECER menarik lebih banyak pelaburan baharu ke sektor minyak, gas dan petrokimia (OGP), pembangunan tanah tinggi bersepadu, pembuatan keluli, pembuatan sarung tangan dan produk-produk hijau serta tenaga boleh diperbaharui.

“Di Kelantan, projek pembangunan Laman Warisan Kampung Laut Fasa 1 telah siap baru-baru ini. Kompleks ini akan menempatkan pengusaha serunding dan makanan tradisional tempatan yang akan beroperasi di Laman Warisan Serunding Kampung Laut. Fasa 2 yang merangkumi Laman Warisan Seni dan penempatan semula Masjid Kampung Laut akan siap pada Mac 2022,” katanya.

Di Terengganu, ECERDC mengekalkan fokus untuk menarik pelaburan baharu terutama sekali ke Taman Biopolimer Kerteh (KBP) yang kini sedang menjalani kerjakerja perluasan untuk Fasa 3B dan 4.

Di Pahang pula, pembinaan saluran air sepanjang 29km dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng, Pahang dengan kapasiti jangkaan sebanyak 90 juta liter sehari akan memastikan bekalan air tidak terganggu dan memenuhi permintaan pelabur di Kawasan Perindustrian Gebeng. Projek ini dijangka siap menjelang April 2023, kata Baidzawi.

“Di Mersing, Johor, projek Lembah Tenusu Jemaluang (JDV) sedang dilaksanakan. ECERDC dan Kerajaan Negeri Johor telah menandatangani Perjanjian Kerjasama pada 18 September 2021 untuk membangunkan projek JDV sebagai sebahagian daripada strategi keseluruhan untuk mewujudkan Lembah Tenusu ECER.

“Apabila ia beroperasi sepenuhnya pada tahun 2023, ianya dijangka akan menghasilkan 5.1 juta liter susu segar setiap tahun. Ini akan meningkatkan pengeluaran susu negara sebanyak 11 peratus. JDV juga dianggarkan akan mewujudkan 100 peluang pekerjaan baharu dan 30 peluang usahawan agro untuk warga tempatan di Mersing,” katanya.

Inisiatif proaktif oleh Pusat Kecemerlangan Asia untuk Teknologi Pintar (ACES), sebuah kerjasama antara ECERDC dan TUM International GmbH (TUMInt), anak syarikat universiti terkemuka Jerman iaitu Technische Universität München (Universiti Teknikal Munich) telah menyampaikan pengetahuan Industri 4.0 (I4.0) kepada pelajar Malaysia dengan membangunkan Aplikasi Web ACES I4.0.

“Web aplikasi ini dibangunkan bagi mempersiapkan para pelajar untuk pekerjaan masa hadapan dengan meningkatkan kesedaran mengenai I4.0 dan melengkapkan bakat-bakat di ECER dengan kemahiran dan pengetahuan untuk memenuhi permintaan masa hadapan.

“Program Rintis Aplikasi Web ACES I4.0 telah memberi manfaat kepada seramai 3,110 orang pelajar di serata ECER. ECERDC sedang merancang untuk melancarkan program ini di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Pendidikan,” katanya.

Mengenai pembangunan modal insan,  program empower ECER Latihan Akademik telah mencatatkan kadar lulus 96 peratus  dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 baru-baru ini berbanding 54 peratus kadar lulus sebelum para pelajar mengikuti program ini.

Keputusan yang direkodkan adalah luar biasa kerana para pelajar yang mengikuti program ini merupakan pelajar berprestasi rendah sebelum mereka menyertai program ini dan berasal daripada keluarga B40.

Di samping itu, beliau berkata pada tahun ini program entrepreneur ECER telah membangunkan seramai 1,209 usahawan sedia ada dengan kerjasama Maybank, Agrobank dan SIRIM.

Inisiatif terbaharu ECERDC adalah kerjasama strategik dengan PERKESO yang akan membolehkan ECERDC memberi bantuan kepada lebih ramai rakyat di ECER dengan memanfaatkan pangkalan data pekerja Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Kolaborasi ini bertujuan untuk membolehkan isi rumah berpendapatan rendah dan individu yang menganggur mendapatkan peluang pekerjaan di wilayah ini serta menggalakkan mereka yang sedang mencari pekerjaan untuk mengikuti program pembangunan, iaitu salah satu faktor penting dalam pembangunan kerjaya mereka

“Kami juga akan bekerjasama erat dengan PERKESO untuk memadankan peserta program insentif PERKESO dengan pangkalan data kami yang merangkumi pelabur dan majikan yang berpusat di ECER,” kata Baidzawi.

Sumber : BERNAMA