Posted on: 06/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Sebanyak 15 tapak perumahan awam yang usang dan tidak lagi kondusif untuk didiami telah dikenal pasti untuk dibangunkan semula, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata kesemua tapak yang melibatkan 10,738 unit rumah dengan keluasan 44.83 hektar itu akan dijadikan sebahagian daripada senarai kawasan pembaharuan semula Kuala Lumpur di dalam draf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040.

“Selaras dengan matlamat pembangunan mampan dan kesejahteraan rakyat di bawah program Wilayah Prihatin, kementerian (Kementerian Wilayah Persekutuan) melalui pelaksanaan pembangunan semula amat komited untuk memastikan faedah, manfaat serta nilai tambah kepada persekitaran yang lebih kondusif dapat dinikmati oleh penduduk Kuala Lumpur.

“Antaranya ialah penyediaan perumahan mampu milik berkualiti yang mencukupi bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk bandar. Penduduk  akan mendapat rumah ganti bagi setiap unit yang lebih selesa dan berkualiti dengan kemudahan dan prasarana yang lengkap,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Nuridah Mohd Salleh yang ingin tahu rancangan kerajaan untuk menebus guna tapak perumahan awam di Kuala Lumpur yang mempunyai satu atau dua bilik serta tidak sesuai diduduki bagi membangunkan perumahan bertingkat baharu.

Mengambil contoh Perumahan Awam Razak Mansion, Jalaluddin berkata kerajaan telah berjaya membangunkan semula perumahan awam empat tingkat  yang mempunyai 658 unit kediaman itu kepada bangunan 21 tingkat dengan keluasan 880 kaki persegi seunit berserta fasiliti lebih lengkap dan moden.

“Projek ini telah siap pada Januari 2017 dan 658 pemilik juga telah selesai dipindahkan pada Mac 2017,” katanya.

Sebagai kesinambungan kepada projek Perumahan Awam Razak Mansion, beliau berkata kerja-kerja pembinaan di Perumahan Awam Sri Pahang telah dimulakan melibatkan 1,017 unit baharu dengan saiz kediaman berkeluasan 800 kaki persegi.

“Projek Perumahan Awam Sri Pahang mengguna pakai konsep yang sama dengan Perumahan Awam Razak Mansion dengan penyewa ditawarkan membeli pada harga cuma RM42,000 seunit,” katanya.

Sumber: BERNAMA