Posted on: 06/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Tiga stesen Transit Aliran Massa (MRT) akan ditutup sementara bermula Sabtu ini, bagi membolehkan stesen tersebut dimigrasi menjadi sebahagian daripada MRT Laluan Putrajaya.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) Prasarana Malaysia Berhad Datin Norlia Noah berkata Stesen MRT Kwasa Damansara, Kampung Selamat dan Sungai Buloh, akan ditutup sementara sehingga pelancaran MRT laluan Putrajaya Fasa Satu pada akhir bulan depan.

“Semua tren MRT dari Kajang akan berhenti di Stesen MRT Kawasan Sentral.

“Bagi penumpang yang ingin meneruskan perjalanan, bas pengantara (shuttle) percuma akan disediakan di antara Stesen MRT Kwasa Sentral dan Stesen MRT Sungai Buloh,” katanya pada sesi taklimat bersama media berhubung penutupan itu dekat sini hari ini.

Norlia berkata bas pengantara akan beroperasi waktu yang sama dengan perkhidmatan MRT dengan kekerapan 10 minit pada pukul 6 pagi hingga 8 malam dan 15 minit pada 8 malam hingga 12 tengah malam.

  Bagaimanapun beliau berkata, Stesen KTM Sungai Buloh serta kemudahan ‘park and ride’ di sebelah Stesen MRT Sungai Buloh, akan beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh tersebut.

Sementara itu Pengarah Projek Laluan Putrajaya MRT Corp Datuk Amiruddin Ma’aris berkata penutupan sementara perlu dilaksanakan, untuk membolehkan migrasi terakhir sistem operasi penting seperti komunikasi dan semboyan, daripada laluan Kajang dan Putrajaya.

“Tempoh ini juga akan digunakan Rapid Rail sebagai pengendali MRT Laluan Putrajaya untuk membiasakan diri dengan laluan yang dimigrasi,” jelasnya. 

MRT laluan Putrajaya (sebelum ini dikenali sebagai Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya) bagi Fasa Satu melibatkan 12 stesen dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu dan dijangka dilancarkan pada hujung bulan depan. 

Sumber: BERNAMA