Posted on: 06/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Penambahan kaunter bergerak (mobile unit) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merupakan antara perkara yang telah dicadangkan Kementerian Pengangkutan (MOT) kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk pertimbangan dalam Belanjawan 2022.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata pihaknya berharap rancangan untuk menambah 30 unit kaunter itu dipertimbangkan bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada negeri yang luas, khususnya di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak serta penempatan masyarakat Orang Asli.

“Kedua, kami  juga mahu tambah unit kiosk JPJ. Dahulu ia diletakkan dalam kawasan JPJ dan orang awam boleh lakukan urusan mereka secara kendiri, tetapi sekarang kami memikirkan mahu meletakkannya di bangunan seperti balai raya, bangunan kerajaan dan sebagainya.

“Ini membantu kami (JPJ) dan memudahkan rakyat kerana dalam beberapa minit, mereka boleh urus semua urus niaga secara kendiri,” katanya dalam Program Inklusif ‘MOT: Pulih Ekonomi, Lindung Keluarga Malaysia’ yang disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen RTM malam tadi. 

Wee berkata perkara lain yang turut dikemukakan ialah rancangan untuk memberikan insentif kepada golongan ibu bapa B40 bagi melakukan pemasangan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) di kenderaan masing-masing.

“Saya tengah berbincang dengan MOF dan berharap dalam bajet kali ini akan ada perkara yang dipertimbangkan,” katanya.

Belanjawan 2022 dijangka dibentang di Dewan Rakyat pada 29 Okt ini, yang merupakan belanjawan yang pertama di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas berlaku pertukaran kepimpinan negara pada akhir Ogos lalu.

Sumber: BERNAMA