Posted on: 06/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Konsep integrasi ilmu Aqli dan Naqli merupakan elemen penting yang perlu dipelajari dalam menghadapi cabaran dunia luar yang semakin kompetitif, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad.

Beliau berkata perkara ini selaras dengan pandangan para ulama Islam terdahulu, yang menegaskan ilmu perlu dipelajari secara sepadu untuk melahirkan pelajar yang berwibawa dan sempurna.

Katanya usaha Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengetengahkan konsep integrasi ilmu Naqli dan Ilmu Aqli sebagai falsafah dan agenda sebuah universiti Islam adalah tepat, dalam situasi penuh cabaran ketika ini.

“Apa yang menjadi cabaran kita hari ini bagaimana menterjemahkan pandangan tersebut dalam realiti pendidikan tinggi semasa.

“Sokongan dan kerjasama diperlukan untuk memantapkan usaha integrasi ilmu pada peringkat pengajian tinggi ini, dan sebagai kesinambungan kepada integrasi ilmu di peringkat sekolah agama rendah dan juga menengah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Antarabangsa Wahyu Asas Tamadun (SWAT 2021) Kali Ketujuh anjuran USIM, yang dilakukan secara dalam talian hari ini.

Katanya para ulama telah menyusun kategori dan klasifikasi ilmu sebagai panduan kepada umat Islam iaitu antaranya ilmu fardu ain dan fardu kifayah, ilmu terpuji (Mahmud) dan ilmu tercela (Mazmum), ilmu bersifat teoritikal dan ilmu bersifat praktikal, serta ilmu berasaskan wahyu (Naqli) dan ilmu olahan akal (Aqli).

Idris berkata seminar bertemakan Ilmu Naqli Dan Aqli Dalam Mendepani Cabaran Global, bertepatan dengan situasi semasa umat Islam ketika ini. Jelasnya umat Islam masih lagi bergelut dengan cabaran pandemik COVID-19 yang masih lagi berada dalam komuniti dan memerlukan perhatian khusus oleh kerajaan serta semua pihak.

“Ia juga perlu kepada kreativiti dan kebijaksanaan dalam menetapkan peraturan, prosedur operasi standard (SOP) dan bantuan agar kelangsungan sosial, ekonomi dan kehidupan seluruh rakyat terjamin,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua kelompok ilmu Naqli dan Aqli ini amat perlu dirujuk serta diselidiki dan berharap hasil kajian berkaitan ini dapat menyumbang kepada pihak kerajaan dan pihak yang berkepentingan dalam usaha menghadapi cabaran pandemik ini.

Katanya ilmu Naqli sesuai dengan terasnya merupakan wahyu daripada Allah dan bersifat universal, syumul dan sempurna manakala ilmu Naqli menjelaskan dasar dan prinsip umum bagi sesuatu perkara. 

“Ia membekalkan kepada kita ilmu yang yakin dan tiada syak lagi padanya. Ia juga sempurna melengkapi seluruh keperluan hidup manusia selaras dengan Al-Quran yang tiada pada syak dan juga sebagai hidayah kepada umat Islam,” katanya.

Sumber: BERNAMA