Posted on: 06/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Malaysia menyokong pendirian secara bersama Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), berhubung perkembangan di Afghanistan seperti yang telah diputuskan dalam Mesyuarat Tergempar Jawatankuasa Eksekutif OIC pada 22 Ogos lepas di Jeddah.

Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Kamarudin Jaffar berkata OIC telah menetapkan pendirian iaitu mengukuhkan komitmen dan sokongan terhadap Afghanistan seperti yang dinyatakan dalam resolusi-resolusi yang diterima pakai pada Sidang Kemuncak OIC dan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar OIC.

Beliau berkata antaranya mengetengahkan harapan masyarakat antarabangsa bagi kepimpinan baharu di Afghanistan mempromosikan perdamaian nasional dan pematuhan undang-undang antarabangsa dan resolusi serta Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Menggariskan kepentingan untuk melindungi dan menghormati hak kehidupan, keselamatan dan maruah rakyat Afghanistan dalam mematuhi Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia,” katanya menjawab soalan Senator Datuk Paul Igai pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Paul ingin tahu mengenai pendirian Malaysia terhadap perkembangan terkini di Afghanistan memandangkan krisis terkini berkenaan penguasaan kerajaan oleh pihak Taliban di negara itu yang boleh memberi banyak pengajaran kepada seluruh dunia.

Kamarudin berkata secara keseluruhannya, negara-negara anggota OIC bersetuju untuk memberi sokongan penuh terhadap penyelesaian di Afghanistan dalam mencapai perdamaian secara komprehensif dan berkekalan.

“OIC juga sedang memberi tumpuan kepada penyaluran bantuan kemanusiaan kepada rakyat Afghanistan; dan pada masa yang sama, melihat kepada isu kemanusiaan yang semakin meruncing kerajaan bersetuju untuk menghulurkan bantuan kewangan sebanyak US$100,000 kepada Afghanistan.

“Perkara ini telah dimaklumkan semasa Mesyuarat Peringkat Tinggi PBB yang dipengerusikan oleh Setiausaha Agung PBB secara maya berhubung situasi kemanusiaan di Afghanistan pada 13 September 2021,” katanya.

Sementara itu  Kamarudin berkata Malaysia sebelum ini mengatakan bahawa  sebarang perkembangan politik dalaman Afghanistan perlu berpaksikan kepada kepentingan pihak berkepentingan serta aspirasi rakyatnya sendiri iaitu berdasarkan pendekatan proses keamanan dan perdamaian yang “diterajui, dimiliki dan dikawal Afghanistan (Afghan-led, Afghan-owned and Afghan-controlled peace and reconciliation process).”

Beliau berkata terdapat keperluan dan kepentingan untuk menyelesaikan situasi di Afghanistan dengan cara rundingan dan muafakat inklusif yang melibatkan penyertaan semua lapisan masyarakat di negara itu dengan matlamat penubuhan sebuah kerajaan Afghanistan yang menyeluruh.

Sumber: BERNAMA