Posted on: 06/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Rakyat  Sabah dan Sarawak yang bermastautin di Semenanjung digalakkan  memohon pertukaran Bahagian Pilihan Raya berdasarkan tempat bermastautin terkini, seperti disaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata ini bagi memudahkan urusan pengundian bagi suatu pilihan raya umum atau kecil.

“Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan menetapkan salah satu kelayakan untuk didaftarkan sebagai pemilih ialah bermastautin dalam mana-mana Bahagian Pilihan Raya.

“Bagi maksud itu, SPR menentukan Bahagian Pilihan Raya seseorang pemilih berdasarkan kepada alamat pemastautin pemilih seperti di kad pengenalan,” katanya bagi menjawab soalan Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya) di Dewan Rakyat hari ini.

Maria ingin tahu  tindakan  diambil kerajaan bagi membebaskan pengundi (enfranchise voters) yang berada di luar negara serta rakyat kelahiran Sabah dan Sarawak yang berada di Semenanjung Malaysia untuk dapat mengundi dari Semenanjung atau luar negara, dan adakah ia akan dilakukan secara maya atau fizikal.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri  Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) sama ada pengundi Sabah dan Sarawak yang menetap di Semenanjung boleh mengundi secara pos, Mas Ermieyati berkata buat masa ini kemudahan mengundi secara pos diberikan kepada pengundi dalam kategori yang telah ditetapkan.

Antara kategori itu ialah kakitangan SPR, petugas pilihan raya, tentera, polis dan Polis Pasukan Gerak Am (PGA) yang bertugas pada Hari Mengundi Awal, pengamal media yang bertugas membuat liputan pilihan raya di luar kawasan pada hari mengundi dan rakyat Malaysia di luar negara.

Beliau berkata tiada rakyat Malaysia terkecuali daripada didaftar sebagai pemilih menerusi pendaftaran pemilih secara automatik, termasuklah mereka yang berada di luar negara. 

“Kalau mengikut apa yang telah termaktub dalam peraturan dan undang-undang, tidak ada terkecuali, mereka yang berada di luar negara walaupun tidak berdaftar akan secara automatik didaftar sebagai pemilih,” katanya menjawab soalan tambahan Maria berhubung perkara itu. 

Pada 21 September lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang)  Datuk Seri Dr  Wan Junaidi Tuanku Jaafar  berkata kerajaan membuat keputusan melaksanakan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik selewat-lewatnya 31 Dis tahun ini seperti diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuching.

Sumber: BERNAMA