Posted on: 06/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Tiada sebarang diskriminasi kaum terhadap individu yang mati di dalam lokap ketika berada dalam tahanan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata perkara itu dapat dibuktikan dengan peratusan kematian dalam lokap adalah kecil iaitu 0.015 peratus kematian daripada 63,773 tahanan yang didaftarkan dalam tempoh Januari hingga September tahun ini atau 10 kematian.

Peratusan bagi tahun lepas juga rendah iaitu 0.014 peratus atau 13 kematian daripada 91,246 tahanan di lokap PDRM.

“Saya ingin jelaskan perkara ini supaya tidak lagi dijadikan isu perkauman yang dibangkitkan sejak dulu.

“Emosi kita yang membuatkan kita terbawa-bawa sehingga ia boleh menjadikan sesuatu yang besar dalam negara kita,” katanya pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat semalam.

Hamzah berkata KDN kini dalam proses menambah baik pengurusan lokap PDRM dengan melantik panel klinik swasta supaya tahap kesihatan tahanan dapat dibuat dengan segera sebelum dimasukkan ke dalam lokap.

Usaha lain termasuk projek pemasangan rakaman kamera litar tertutup di semua lokap polis dijangka akan selesai akhir tahun ini yang dibahagikan kepada lima zon iaitu utara, selatan, timur, Sabah dan Sarawak, katanya.

Teguran Hamzah agar Ahli Parlimen tidak menjadikan kes kematian di lokap sebagai modal membangkitkan isu perkauman, bagaimanapun mencetuskan situasi tegang apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang bangun mencelah meminta tambahan masa, jawapan bertulis dan penjelasan lanjut isu itu.

Antara yang bangun P. Kasthuriraani (PH-Batu Kawan), M. Karupaiya (PH-Padang Serai), P. Prabkaran (PH-Batu) dan Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya).

Situasi itu menyebabkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun membuat teguran tegas agar semua Ahli Parlimen mematuhi dan menghormati masa yang ditetapkan.

“Masa (penggulungan menteri) dah habis, faham tak? Ini bukan masa untuk berbahas lagi…ini masa menteri menjawab dan menteri telah menjawab.

“Yang Berhormat semua, saya perhatikan hampir 90 peratus anda semua tak ikut peraturan, tapi saya beri juga laluan kepada Yang Berhormat (mencelah)…ni masa untuk Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menggulung dah tak cukup, tinggal 10 minit sahaja.Tolong la ikut peraturan,” katanya.

Hari pertama sesi penggulungan RMK12 menyaksikan 11 kementerian selesai menggulung bagi perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Parlimen sepanjang empat hari perbahasan, manakala 12 lagi kementerian dijadual menggulung perbahasan esok. Persidangan Dewan Rakyat bersambung hari ini.

Sumber: BERNAMA