Posted on: 06/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Sembilan akan melaksanakan simulasi menyelamat mangsa banjir sebagai persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut.

Pengarahnya  Lt Kol (PA)  Mohd Syukri Madnor  berkata simulasi yang akan diadakan dalam masa terdekat itu  bertujuan meningkatkan kemahiran pasukan penyelamat dalam mendepani cabaran baharu khususnya situasi COVID-19 ketika ini.

“Seramai 279 anggota bersiap siaga bagi menghadapi kemungkinan banjir. Ia merangkumi persediaan mengatur gerak di kawasan dilanda banjir kilat, banjir lumpur selain bencana lain seperti kejadian kepala air dan tanah runtuh.

“Setakat ini kelengkapan logistik telah disediakan termasuk 39 bot pelbagai jenis, tujuh kenderaan pacuan empat roda, lapan lori lima tan dan empat lori tiga tan. Tahap persediaan APM kini mencapai 80 peratus,” katanya kepada pemberita selepas program Latihan Ujian Siren Sistem Amaran Awam di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut menjalani latihan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Meteorologi untuk menilai kadar penurunan hujan dan kadar kenaikan paras sungai.

Dalam pada itu, Mohd Syukri meminta orang ramai khususnya penduduk di kawasan rendah dan sering dinaiki air supaya sentiasa berwaspada sekali gus membuat persediaan awal terutama dari segi keperluan asas, dokumen penting serta ubat-ubatan sekiranya perlu dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Katanya terdapat 82 lokasi sering dilanda banjir dikenal pasti di negeri itu iaitu 24 di Seremban, Port Dickson (14), Rembau (13), Jelebu (11), Jempol (10), Tampin (7) dan Kuala Pilah (3).

Sumber: BERNAMA