Posted on: 07/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Data Pengarah Tourism Malaysia di luar negara akan dijadikan panduan dalam mengenal pasti tahap kesediaan negara bagi pembukaan sektor pelancongan antarabangsa, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

“Ini dapat membantu kita untuk merangka kempen promosi dan pemasaran bagi membolehkan pelancong luar negara menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan apabila sempadan negara dibuka nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nancy semalam mengadakan pertemuan secara maya bersama 33 Pengarah Tourism Malaysia dengan sesi perbincangan itu menjurus kepada potensi pembukaan semula aktiviti pelancongan antarabangsa apabila pintu sempadan negara kembali dibuka.

Beliau berkata data daripada  Pengarah Tourism Malaysia itu juga akan membantu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam merangka mekanisme yang bersesuaian berkaitan urusan kemasukan, faktor kesihatan dan keselamatan, imigresen serta sistem penjejakan data.

“Perkara ini seterusnya akan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk dipertimbangkan sebelum keputusan membuka semula sempadan negara dibuat,” katanya.

Nancy berkata sesi perbincangannya itu turut membincangkan perkara-perkara berkaitan peraturan kesihatan serta amalan terbaik yang dilaksanakan oleh negara luar.

Antara isu dikemukakan adalah berkaitan tempoh kuarantin semasa ketibaan, pengiktirafan vaksinasi dan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas untuk pelancong luar negara, katanya.

Menurut Nancy, industri pelancongan negara terjejas teruk dalam tempoh pandemik dengan anggaran kerugian sebanyak RM135 bilion tahun lepas dan jumlah itu dijangka meningkat kepada RM165 bilion tahun ini.

Sehubungan itu, beliau mahu Tourism Malaysia meningkatkan promosi mengenai keunikan Malaysia di persada dunia seiring dengan tumpuan MOTAC terhadap cadangan pembukaan gelembung pelancongan antarabangsa.

“Bagi mencapai sasaran kemasukan 16 juta pelancong antarabangsa dan pendapatan sekurang-kurangnya RM45 bilion pada 2025, kita perlu bersama-sama berganding bahu dan bekerja sebagai satu pasukan demi mencapai matlamat memulihkan kembali industri ini seiring dengan slogan MOTAC, Coming Back Stronger,” katanya.

Sumber : BERNAMA