Posted on: 09/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Perdana Menteri  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini turut  bersukan  sempena Hari Sukan Negara (HSN) 2021 dengan menyertai beberapa acara yang diadakan di perkarangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini.

Antara aktiviti sukan yang disertai Perdana Menteri ialah senamrobik, bola jaring, bola keranjang selain meninjau aktiviti sukan permotoran.

Terdahulu ketika berucap melancarkan HSN 2021 itu, Ismail Sabri mengajak seluruh rakyat untuk menjadikan sukan dan riadah dalam norma baharu sebagai amalan harian Keluarga Malaysia yang sihat, aktif dan cergas.

“Sepanjang tempoh bersukan dan beriadah, teruslah mematuhi prosedur operasi standard (SOP)  yang ditetapkan, demi nyawa dan kesihatan seluruh Keluarga Malaysia. Selamat bersukan dan selamat beriadah,” katanya.

Perdana Menteri turut menggariskan  landasan untuk pembangunan sukan negara dengan mengerakkan rencana ke arah memperkasakan penglibatan wanita, mencungkil bakat baharu dan menjadikan sukan sebagai sumber baharu pertumbuhan ekonomi.

Beliau melancarkan Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan; Program  Talent Identification and Development  (MyTID) dan usaha penggubalan Pelan Tindakan Industri Sukan Negara.

Sumber: BERNAMA