Posted on: 09/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak bersetuju membenarkan pawagam di negeri ini kembali beroperasi mulai 10 Oktober ini.

JPBN Sarawak dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kebenaran beroperasi di bawah Pelan Pemulihan Negara Fasa 3 itu perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan. “Prosedur operasi standard (SOP)  sektor industri kreatif (pawagam) boleh didapati di laman sesawang JPBN iaitu  http://sarawakdisastermc.com,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, hanya 1.57 peratus atau 21 daripada 1,339 kes positif COVID-19 direkodkan di Sarawak hari ini melibatkan jangkitan paru-paru yang memerlukan bantuan oksigen dan ventilator.

Baki 98.43 peratus atau 1,318 kes pula tidak bergejala atau mempunyai gejala ringan.

Selain itu, lapan  kematian akibat COVID-19 dicatatkan di Sarawak dari 28  September hingga 6 Oktober manakala terdapat sembilan kluster diisytiharkan tamat hari ini, menjadikan jumlah kluster yang aktif setakat ini ialah 80.

Sumber: BERNAMA