Posted on: 10/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kerajaan bersetuju membenarkan individu  yang sudah lengkap vaksinasi COVID-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula esok.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata  keputusan itu dibuat berikutan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus. 

“Dengan keputusan ini, Keluarga Malaysia bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang telah lama berpisah, melancong, dan sebagainya.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Keluarga Malaysia atas kerjasama selama ini dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan menyokong kempen imunisasi COVID-19,” katanya pada sidang media khas yang disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen tempatan dan platform media sosial petang ini.

Larangan rentas negeri dikuatkuasakan pada 10 Mei lepas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan peningkatan mendadak kes selain Malaysia sedang berhadapan dengan gelombang ketiga pandemik yang boleh mencetuskan suatu krisis nasional. PKP seluruh negara pertama kali dilaksanakan pada 18 Mac hingga 3 Mei 2020. 

PKP 2.0 dilaksanakan ke atas enam negeri melibatkan Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah dari 13 Jan hingga 26 Jan sebelum dilanjutkan untuk Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang sehingga 4 Mac lepas. 

Sumber: BERNAMA