Posted on: 10/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kementerian Pengangkutan akan menyediakan inisiatif bagi membantu penunggang yang menjalankan perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailing), mendapatkan lesen memandu sah bagi memudahkan mereka melibatkan diri dalam sektor berkenaan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata perkara itu sudah dibincangkan dengan Kementerian Kewangan, bertujuan meringankan beban mereka terutamanya individu yang hilang pekerjaan, tamat belajar dan mencari rezeki.

“Kami memahami situasi yang mana sesetengah pihak terdesak untuk mendapatkan wang dan terpaksa  menggunakan kaedah menyalahi undang-undang, namun kita (Kementerian Pengangkutan) akan memberi peluang kepada mereka.

“Satu kaedah sedang difikirkan untuk membantu mereka…yang berkemungkinan mempunyai masalah kewangan untuk pergi ke institut memandu. Jadi kita samasama tunggu dalam Belanjawan 2022 yang bakal dibentang nanti,” katanya kepada pemberita di sini semalam. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan mengenai penunggang p-hailing yang tidak mempunyai lesen memandu selain menggunakan pengenalan diri kerja orang lain dalam operasi dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata penunggang p-hailing terutamanya golongan B40 berhadapan kes tertentu termasuk melibatkan tunggakan saman yang banyak, boleh mendapatkan potongan harga daripada Kementarian Pengangkutan.

“Kita akan membantu golongan berkenaan yang mempunyai tunggakan saman bagi membolehkan mereka ini terus mencari rezeki,” katanya.

Terdahulu, Wee yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam menyerahkan bakul makanan kepada 65 penunggang p-hailing yang aktif di kawasan Yong Peng dan Ayer Hitam.

Sumber: BERNAMA