Posted on: 10/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan melancarkan program ‘Sahabat Penerangan Keluarga Malaysia’, yang bertindak sebagai ejen menyampaikan maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan khususnya kepada golongan muda.

Timbalan Menterinya Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata program yang akan dilancarkan dalam masa terdekat menerusi  Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) itu, memberi tumpuan kepada penglibatan golongan muda di semua kawasan Parlimen.

“Sebelum ini kita ada Biro Tatanegara (BTN) yang menganjurkan kursus untuk anak-anak muda, tetapi sekarang sudah tak ada. Jadi kita nak sekurang-kurangnya di setiap kawasan Parlimen ada 100 orang Sahabat Penerangan Keluarga Malaysia yang akan jadi ejen penyampai maklumat untuk rakan sebaya mereka.

“JaPen akan memainkan peranan penting bersama wakil rakyat bagi menjayakan program ini dan kita mahu anak-anak muda untuk bersama dengan pemimpin membangunkan negara terutama dalam bidang ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas majlis Prapelancaran Aplikasi MYIOW JaPen Perlis di Mata Ayer dekat sini, semalam.

Katanya KKMM akan bekerjasama antaranya dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk melihat apakah program yang boleh dilaksanakan ke arah memupuk semangat Keluarga Malaysia.

Sementara itu, mengenai Aplikasi MYIOW Zahidi berkata ia merupakan inisiatif JaPen Perlis dalam usaha menyebarkan informasi tentang situasi semasa COVID-19 kepada masyarakat dengan lebih berkesan secara bergerak.

“Penerangan tentang bagaimana nak hidup dalam keadaan pandemik COVID-19 sangat penting, terutama dalam fasa peralihan daripada pandemik kepada endemik tidak lama lagi,” katanya.

Terdahulu Zahidi turut meluangkan masa beramah mesra dengan golongan belia di Mata Ayer dan menyampaikan amanat penting Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terutamanya mengenai kerajaan Keluarga Malaysia.

Sumber:BERNAMA