Posted on: 10/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) hari ini melancarkan Program Kembara Connectivity bagi memantau secara rapi perkembangan capaian internet di kawasan terpencil dan luar bandar seluruh negara.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata ia adalah satu inisiatif bagi menjayakan konsep internet sebagai hak asasi serta memastikan matlamat semua kawasan di negara ini mendapat jaringan liputan 4G tercapai menjelang akhir tahun hadapan.

“Menerusi program ini kita akan dapat melihat secara terus keadaan liputan internet di sesebuah kawasan dilawati memandangkan kita sering menerima pelbagai aduan (berkaitan capaian internet) justeru, ini adalah cara terbaik bagi melihatnya dari pelbagai penjuru.

“Untuk permulaan program pada hari ini dan esok, kembara kita akan meliputi tiga negeri iaitu Selangor, Perak dan Pahang,” katanya kepada Bernama.

Annuar ditemui selepas melakukan lawatan ke Pejabat Pos Rawang, di sini, semalam bersempena Sambutan Hari Pos Sedunia 2021.

Beliau meluangkan masa kira-kira 30 minit beramah mesra serta menyampaikan cenderamata kepada petugas pejabat pos bersempena Hari Pos Sedunia 2021 yang disambut pada 9 Oktober setiap tahun.

Kembara selama dua hari ini secara khusus akan meliputi lawatan ke penempatan Orang Asli di kawasan Cameron Highlands selain ke Tanah Rata, Sungai Koyan, Kuala Lipis, Raub dan beberapa lokasi lain.

“KKMM akan meneruskan program kembara ini ke Sarawak pada minggu hadapan sebelum diteruskan ke kawasan-kawasan di negeri lain,” katanya.

Terdahulu, Annuar Musa meluangkan masa kira-kira dua jam mendengar taklimat pengurusan tertinggi Telekom Malaysia Berhad berkaitan capaian internet serta penggunaan rangkaian fiber optik di Pusat Operasi Rangkaian TM di Cyberjaya.

Sumber:BERNAMA