Posted on: 11/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sedang membangunkan program bantuan sementara untuk mengurangkan beban pinjaman individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang sukar memulihkan aliran tunai selepas bantuan bayaran balik di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) berakhir.

Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini berkata maklumat terperinci berkenaan program itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) mengenai bantuan kepada peminjam menerusi moratorium. 

Yamani Hafez berkata peminjam di bawah AKPK yang amat terjejas seperti hilang sumber pendapatan atau isi rumah yang kematian pencari nafkah boleh mendapatkan pengurangan caj faedah daripada institusi perbankan sebagai satu daripada pakej bantuan penstrukturan semula pinjaman.

Katanya peminjam akan turut menerima nasihat kewangan termasuk dari segi perancangan kewangan yang bersesuaian dengan keperluan peminjam, pendidikan berkenaan pengurusan kewangan dan rujukan kepada agensi lain melalui Rangkaian Sinergi Sosial bagi membantu meningkatkan keupayaan dan pendapatan mereka. 

“Oleh itu, tidak benar tanggapan bahawa terdapat golongan yang akan tercicir terutamanya kalangan mereka yang terjejas sekiranya bantuan moratorium pinjaman berakhir atau tidak dilaksanakan dengan lebih meluas seperti penghapusan caj faedah secara keseluruhan,” kata Yamani Hafez.

Sementara itu, beliau berkata antara tiga sebab utama permohonan PKS ditolak pihak bank semasa membuat penilaian permohonan pembiayaan adalah aliran tunai yang tidak mencukupi, perniagaan tidak berdaya maju dan tahap keberhutangan yang tinggi. 

Beliau menjawab pertanyaan Charles Anthony Santiago  (PH-Klang) mengenai jumlah permohonan pinjaman perniagaan dalam semua pakej rangsangan/pemulihan ekonomi negara sejak pandemik, kadar kelulusan permohonan dan alasan pemohonan itu ditolak.

Yamani Hafez berkata jumlah kemudahan pembiayaan yang diluluskan di bawah Bank Negara Malaysia untuk tempoh 6 Mac 2020 hingga 28 Julai 2021 adalah RM16 bilion, melibatkan lebih 37,959 akaun PKS dengan kadar kelulusan 80 peratus daripada keseluruhan permohonan.

Katanya mengikut statistik, kemudahan pembiayaan itu merangkumi peruntukan RM10 bilion bagi Kemudahan Bantuan Khas yang diluluskan kepada lebih 21,000 akaun PKS dengan kadar kelulusan 78.1 peratus.

Selain itu, katanya RM6 bilion diperuntukkan bagi Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar dengan RM3.2 bilion diluluskan kepada 12,027 akaun PKS dengan kadar kelulusan 83 peratus, dan RM800 juta bagi Kemudahan Teknologi Tinggi – Aspirasi Pelaburan Nasional dengan kelulusan RM68 juta kepada 47 akaun PKS dengan kadar kelulusan 81 peratus.

Katanya peruntukan berjumlah RM1 bilion disediakan untuk Kemudahan Automasi dan Digital dengan RM389 juta diluluskan kepada 338 akaun PKS dengan kadar kelulusan 82.4 peratus. 

Menurut Yamani Hafez sebanyak RM6.5 bilion diperuntukkan bagi Kemudahan Semua Sektor Ekonomi dengan kelulusan RM954 juta kepada 2,103 akaun PKS dengan kadar kelulusan 77.7 peratus, dan RM1.5 bilion bagi Kemudahan Agromakanan dengan RM1.398 bilion diluluskan kepada 1,868 akaun PKS dengan kadar kelulusan 91.9 peratus.  Selain itu, beliau berkata RM600 juta turut diperuntukkan bagi Pembiayaan Pelancongan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dengan RM67 juta diluluskan kepada 336 akaun PKS dengan kadar kelulusan 63.5 peratus. 

Selain itu, beliau berkata RM600 juta turut diperuntukkan bagi Pembiayaan Pelancongan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dengan RM67 juta diluluskan kepada 336 akaun PKS dengan kadar kelulusan 63.5 peratus. 

Sumber : BERNAMA