Posted on: 11/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Arahan kerja akan dikeluarkan kepada syarikat-syarikat yang dilantik untuk memulakan kerja-kerja fizikal pembinaan  menara telekomunikasi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) 1, bulan ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa mengakui pelaksanaan JENDELA 1 telah agak tertangguh walaupun tender-tender telah dikeluarkan seawal Mac lepas.

“Matlamat kita untuk pastikan menjelang akhir tahun ini kemudahan 3G akan ditutup untuk kita bertukar kepada perkhidmatan berasaskan 4G.

“Untuk itu berlaku, kita ingin pastikan menjelang akhir tahun depan, penyediaan kemudahan 4G harus meliputi 96.7 peratus liputan seluruh negara, oleh itu kementerian akan pastikan pelaksanaan program JENDELA ini akan diberi keutamaan tinggi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Hassan (Warisan-Papar) yang ingin tahu bilakah menara telekomunikasi di kawasannya akan dibina.

Mengenai soalan tambahan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) yang mahu tahu sama ada kerajaan bercadang mewajibkan syarikat telekomunikasi menyediakan alat pemancar di setiap menara baharu didirikan, Annuar berkata sememangnya di bawah JENDELA, perkara itu telah diwajibkan.

“Saya ingin beri peringatan mesra, kepada penyedia-penyedia khidmat supaya bukan sahaja mereka perlu cari keuntungan, kementerian faham, tetapi kita akan pantau supaya tahap keuntungan itu mesti juga dipulangkan kembali kepada perkhidmatan luar bandar. 

“Tetapi saya dah buat beberapa semakan secara rawak, ada tempat-tempat telco tak beri servis seperti diuar-uarkan, ini tak adil kepada pengguna,” katanya.

Mengenai rancangan naik taraf capaian internet di Igan, Annuar berkata sebanyak 12 menara baharu akan dibina iaitu empat darinya telah siap; 45 stesen pemancar akan dinaik taraf dengan 15 daripadanya telah siap, selain terdapat keperluan membina dua menara menggunakan kaedah jalur lebar satelit. “Semua ini akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Sumber: BERNAMA