Posted on: 11/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Harga tiket penerbangan domestik bagi laluan  ke Sabah dan Sarawak akan  kembali ke paras purata apabila jumlah kekerapan penerbangan beroperasi seperti biasa, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Henry Sum Agong.

Justeru, beliau berkata kerajaan melalui Suruhajaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) akan meneruskan pemantauan terhadap harga tiket penerbangan bagi semua laluan penerbangan domestik termasuk laluan antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak.

Beliau berkata harga tiket penerbangan yang tinggi itu adalah kesan daripada pelaksanaan had kapasiti penerbangan oleh kerajaan Sarawak sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan negeri itu menangani penularan wabak COVID-19.

“Pada ketika itu, kekerapan penerbangan ke Sarawak berkurangan sebanyak 94 peratus berbanding semasa tempoh sebelum COVID-19 manakala bagi penerbangan antara Semenanjung dan Sabah, kekerapan penerbangan berkurangan sebanyak 89 peratus  berbanding semasa tempoh sebelum COVID-19,”  katanya di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab pertanyaan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) mengenai langkah kerajaan untuk mengurangkan harga tiket penerbangan dari Sarawak ke Semenanjung dan Sabah yang sangat mahal ketika pandemik COVID-19 dan mengenai langkah pemulihan bagi perkara itu. 

Henry berkata harga tiket penerbangan ditentukan menggunakan kaedah dinamik dan mempraktikkan konsep ‘cross-subsidisation’ iaitu laluan penerbangan yang mencatatkan keuntungan akan menampung kos operasi laluan yang tidak mencatat keuntungan.

Beliau berkata pemantauan MAVCOM antara 26 Sept hingga 2 Okt untuk perjalanan selepas 8 Okt mendapati penerbangan Kuala Lumpur ke Kuching merekodkan harga tiket yang lebih rendah iaitu antara 29 peratus sehingga 74 peratus berbanding harga tiket pada 2019.

Laluan lain seperti Kuala Lumpur ke Miri dan Kuala Lumpur ke Sibu masih merekodkan harga yang tinggi iaitu antara RM530 hingga RM1600 untuk sehala manakala bagi laluan Semenanjung ke Sabah pula, harga tiket lebih tinggi antara lapan peratus hingga 163 peratus direkodkan berbanding harga tiket pada 2019.

Dalam perkembangan lain, Henry berkata kelulusan akhir bagi cadangan pembinaan projek pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) hanya akan dipertimbangkan apabila Kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) disiapkan.

“Sehubungan itu, sebarang perancangan projek komersial yang berkaitan lapangan terbang akan dilakukan sempena pembukaan KXP hanya akan dapat ditentukan setelah cadangan pembinaan KXP ini dimuktamadkan oleh kerajaan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Karupaiya Mutusami (PH-Padang Serai) mengenai perancangan dan projek komersial yang akan dilakukan sempena pembukaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim.

Sumber: BERNAMA