Posted on: 11/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sentiasa memantau kandungan yang disiarkan di televisyen, dengan penulisan kreatif yang membawa mesej umum serta tidak melanggar prinsip Rukun Negara adalah dibenarkan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata penulisan kreatif sememangnya menggunakan sifat-sifat tertentu bagi menyampaikan sesuatu mesej. 

“Dalam masyarakat kita memang banyak jenis gelaran, ada cikgu, ada ustaz, ustazah, tok imam, tok guru, yang berhormat, yang amat berhormat, datuk, datuk seri, datin, tun, toh puan dan sebagainya.

“Kita mengizinkan pendekatan-pendekatan kreatif termasuk dalam skrip drama selagi ia tidak melanggar garis panduan tertentu dan prinsip-prinsip Rukun Negara,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) di Dewan Rakyat, hari ini.

Hasanuddin ingin tahu sama ada KKMM memantau skrip drama yang sewenang-wenangnya menggunakan watak bergelar Tan Sri dan Datuk Seri yang tidak bermoral.

Secara umumnya, Annuar berkata terdapat dua kaedah perolehan bahan siaran iaitu yang dikeluarkan sendiri oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang bersifat lebih terkawal dengan mesej jelas, serta perolehan idea kreatif termasuk drama oleh pihak lain dengan perlu melalui proses ‘pitching’ untuk penilaian.

Dalam pada itu, beliau berpandangan kandungan drama perlu disesuaikan dengan keadaan semasa dan bertepatan dengan situasi masyarakat. 

“Kita sekarang telah masuk fasa pemulihan negara, maka kita patut menghidupkan kembali semangat Keluarga Malaysia, prinsip kebersamaan, nilai semasa dan nilai nasional kita galakkan untuk diterapkan melalui medium siaran termasuk dalam drama dan telefilem,” katanya.

Kepada soalan Dr Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) sama ada kementerian akan membantu mempromosi sukan gusti negara, Annuar berkata KKMM sedia bekerjasama dengan badan-badan sukan termasuk gusti bagi membantu pertumbuhan sukan berkenaan.

Sumber: BERNAMA