Posted on: 11/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merancang membina 7,448 unit  Rumah Transit Belia (RTB) dalam usaha membantu golongan belia yang berdepan dengan isu harga rumah dan kadar sewa yang tinggi di Lembah Klang dan Selangor.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata projek itu akan dibangunkan di Mukim Batu melibatkan 1,448 unit dan di Rawang, Selangor melibatkan 6,000 unit.

“Ini diharapkan dapat membantu golongan muda untuk tinggal bagi satu tempoh lebih kurang dua tahun yang dirasakan cukup sebelum dapat mengukuhkan kedudukan kewangan dan ekonomi mereka sebelum memiliki kediaman sendiri,” katanya pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau berkata pada masa ini kementerian memberi keutamaan RTB kepada belia berusia di bawah 30 tahun, namun kerajaan akan mempertimbangkan permohonan bagi mereka yang berusia 30 tahun ke atas sekiranya terdapat kekosongan. 

Mengenai Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Arang di Labuan, Ismail berkata setakat ini kemajuan projek perumahan itu telah mencapai 81 peratus dan dijangka siap pada 11 Dis tahun ini.

“Kadar sewa PPR Batu Arang belum dimuktamadkan tetapi kadar sewa akan mengambil kira kos penyelenggaraan ditanggung kerajaan dan tidak membebankan mana-mana pemohon…kadar sewa ini akan diteliti bersama Perbadanan Labuan,” katanya.

Ismail menjelaskan, berdasarkan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah 2019 dan Kemudahan Asas 2019 melalui kaedah Multiple Median Affordability bagi penduduk di Labuan, harga rumah adalah lebih tinggi berbanding kemampuan kebanyakan pendapatan isi rumah.

“Harga rumah di Labuan yang tinggi adalah disebabkan kos pembinaan yang tinggi melibatkan kos bahan binaan dan pengangkutan yang juga tinggi berbanding di Semenanjung,” katanya.

Mengenai PPR mesra Orang Kurang Upaya (OKU), Ismail berkata KPKT mengambil perhatian yang cukup serius mengenai keperluan tersebut.

“Isu ini banyak ditimbulkan bukan sahaja di Dewan ini tetapi juga di Dewan Rakyat…Insya-Allah kita akan beri perhatian.

“Macam Rumah Mesra Rakyat yang saya lancarkan dua hari lepas, kalau kira ruang untuk OKU tiada masalah kerana dia besar dan bertanah…mungkin ada (pembinaan) PPR dahulu bukan tidak fikir keperluan OKU, kadang-kadang mungkin terlepas pandang tetapi usaha diambil kerajaan bagi tangani keperluan OKU ini,” katanya.

Sumber: BERNAMA