Posted on: 11/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah merangka satu program khas untuk membantu usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) melalui Program Rintis ‘CARE: Capable and Reliable Entrepreneur’ dengan golongan sasaran dalam kalangan OKU mental.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar berkata Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) sebagai agensi pelaksana program CARE akan bersama rakan strategik Jabatan Pembangunan OKU (JPOKU) dan Yayasan Kesihatan Mental Malaysia melaksanakan program tersebut.

Beliau berkata pihak berkenaan akan menyediakan Seminar Asas Keusahawanan dan kemudahan pusat latihan serta kakitangan terlatih untuk melaksanakan latihan kepada 24 peserta yang terpilih selama tiga bulan dengan peruntukan keseluruhan RM240,000.

“Peserta perlu menginap di Pusat Latihan Kemahiran Yayasan Kesihatan Mental Malaysia sepanjang latihan diadakan. Insya-Allah program ini akan dilaksanakan pada November 2021,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Ras Adiba Radzi yang mahu tahu sama ada MEDAC mempunyai perancangan memperkenalkan Program Pemerkasaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi golongan OKU serta jumlah OKU yang berjaya menjadi usahawan menerusi program kementerian.

Pada masa sama, Noh berkata MEDAC juga menyediakan beberapa program untuk OKU antaranya skim sedia ada TEKUN Nasional yang menyediakan pembiayaan khusus untuk usahawan OKU melalui program Skim Pembiayaan OKU (SP-OKU).

“Secara kumulatifnya dari tahun 2000 sehingga September 2021, TEKUN Nasional telah membiayai seramai 759 usahawan OKU dengan nilai pembiayaan berjumlah RM8.4 juta,” katanya.

Selain itu, belia berkata terdapat juga Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) yang dilaksanakan SME Corp Malaysia dengan seramai 57 peserta OKU telah menyertai program tersebut dan menerima geran permulaan perniagaan yang keseluruhannya berjumlah RM765,000.

Di samping itu, Noh berkata program bimbingan keusahawan yang dijalankan di bawah Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) seperti program CoachingMentoring INSKEN, program Online Onboarding Coaching dan program Sportspreneur turut mendapat sambutan daripada golongan OKU.

Beliau berkata seramai 20 usahawan OKU telah berdaftar dengan INSKEN bagi mengikuti program bimbingan berkenaan.

Mengulas lanjut, Noh berkata program Coaching-Mentoring INSKEN melibatkan empat peserta OKU dan berjaya merekodkan jualan dengan kenaikan sehingga 47.8 peratus, sementara program Online Onboarding Coaching membabitkan lima peserta dan pencapaian jualan usahawan OKU berkenaan direkodkan dengan kenaikan sehingga 22.1 peratus.

Sumber: BERNAMA