Posted on: 11/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Keadaan jalan utama menuju keluar dari ibu kota dalam keadaan terkawal dan tiada aliran trafik luar biasa dikesan walaupun rentas negeri dibenarkan bermula tengah malam ini. Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mat Kasim Karim ketika dihubungi Bernama berkata setakat malam ini tiada jangkaan trafik yang luar biasa.

“Orang ramai juga dingatkan jangan terlalu ghairah untuk melakukan pergerakan rentas negeri kerana negara  masih berdepan dengan pandemik COVID-19,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Jalan Duta tengah malam tadi mendapati aliran trafik seperti biasa walaupun terdapat pertambahan kenderaan. Beberapa kenderaan turut dilihat berhenti  300 meter daripada plaza tol bagi menantikan detik 12 tengah malam sebelum keluar daripada Plaza Tol Gombak.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media khas hari ini memaklumkan kerajaan bersetuju membenarkan individu yang sudah lengkap vaksinasi COVID-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula hari ini.

Susulan itu, Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataannya memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan pemeriksaan secara rawak di kawasan tumpuan dan menamatkan sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, Op Benteng dan cegah jenayah serta keselamatan.

Sumber: BERNAMA