Posted on: 11/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kerajaan Negeri Kedah hari ini melancarkan program ‘Anakku Sejahtera’ dengan pembiayaan RM1 juta diperuntukkan untuk diberi kepada setiap anak yang lahir di negeri ini mulai 1 Jan hingga 31 Disember tahun ini.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata program itu inisiatif kerajaan negeri bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah di Kedah.

“Bantuan ini akan diberikan dalam bentuk Tabungan Simpan SSPN Prime yang dahulunya dikenali sebagai SSPN-i dengan jumlah RM100 setiap orang.

“Bagi memastikan bantuan ini sampai kepada golongan sasar, kerajaan negeri telah menetapkan beberapa syarat untuk membuat pemohonan antaranya ialah bayi mestilah warganegara dan dilahirkan di Kedah dan ibu atau bapa lahir di Kedah atau bermastautin di negeri ini melebihi 10 tahun.

“Selain itu, pemohon juga perlulah berpendapatan isi rumah RM3,000 sebulan dan ke bawah,” katanya ketika berucap melancarkan program itu di Langkawi yang disiarkan secara maya semalam.

Beliau berkata borang permohonan dan maklumat lanjut mengenai program itu boleh didapati di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah berhampiran dan deposit RM100 akan dimasukkan ke dalam akaun Simpan SSPN Prime selepas pemohonan diluluskan.

“Agak mendukacitakan apabila statistik terkini menunjukkan masih ramai ibu bapa yang belum tampil membuat permohonan bantuan ini. Mungkin mereka tidak sedar atau mengetahui bahawa kerajaan negeri telah bermurah hati membantu mereka menerusi program ini.

“Bagi membolehkan golongan sasar ini menerima manfaat, kerajaan negeri telah bersetuju untuk memansuhkan syarat tempoh tiga bulan daripada kelahiran didaftarkan. Ini bermakna ibu bapa yang mempunyai anak lahir pada 1 Jan hingga 31 Disember 2021 boleh membuat permohonan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa mengambil berat dan proaktif untuk membantu rakyat dalam usaha membasmi kemiskinan secara holistik dan matlamatnya adalah memastikan anak-anak tidak mewarisi kemiskinan keluarga.

“Seperti dinyatakan Pengerusi PTPTN Datuk Wan Saiful Wan Jan, Simpan SPPN Prime ini menawarkan pelbagai keistimewaan dan kelebihan kepada pendeposit antaranya menikmati pemberian dividen sangat kompetitif, perlindungan takaful percuma dan pemberian geran sepadan hingga RM10,000 untuk keluarga yang layak,” katanya.

Sumber: BERNAMA