Posted on: 12/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Langkah-langkah berdaya maju untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bangkit kembali di bawah Bajet 2022 sepatutnya bukan hanya untuk jangka masa pendek tetapi dilanjutkan bagi tempoh yang lebih lama sehingga mereka pulih sepenuhnya. 

Ini penting, memandangkan sumbangan besar PKS dalam mewujudkan peluang pekerjaan terutamanya bagi mereka yang berada dalam kategori B40, kata Ketua Pegawai Eksekutif GKK Consultants Sdn Bhd, Gajendran Balasingam.

Sebagai contoh, “pelepasan cukai pendapatan individu bagi mereka yang memperoleh pendapatan di bawah RM80,000 perlu dilanjutkan bagi tempoh tiga tahun” dan bukan hanya untuk setahun sahaja, katanya. 

Ini akan membolehkan PKS menggunakan pendapatan mereka untuk dilaburkan semula bagi mendapatkan peralatan atau sistem pejabat yang lebih cekap, menambah kemahiran dan melatih semula kakitangan dan malahan mengembangkan perniagaan mereka, katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

PKS, katanya, paling teruk terjejas akibat daripada pandemik COVID-19 dengan ramai yang terkesan akibat daripada kegagalan perniagaan dan pengangguran.

Memberi sokongan penuh kepada mereka adalah amat penting memandangkan sumbangan besar PKS kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) serta menyediakan peluang pekerjaan, terutamanya bagi kumpulan B40 yang paling memerlukan sokongan. 

Memetik angka daripada Jabatan Perangkaan, beliau berkata terdapat 1.15 juta PKS di negara ini , mewakili 97.2 peratus daripada jumlah perniagaan di Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, suatu yang melegakan apabila banyak institusi kewangan menawarkan pelbagai pakej untuk membantu PKS memulakan semula perniagaan mereka atau membuka perniagaan baharu, tanpa meminta sebarang cagaran.

“Pertimbangkan caruman KWSP dan Socso pekerja dikurangkan sebanyak beberapa mata peratusan untuk menjimatkan apa juga pendapatan yang mula diperoleh PKS,” katanya.

Gajendran berkata insentif syarikat boleh dilaksanakan bagi kakitangan untuk menghadiri minimum tiga modul latihan setahun dengan Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF).

Ini akan meningkatkan kearifan  perniagaan mereka, katanya, sambil menambah lebih banyak modul latihan dalam penggunaan teknologi maklumat (IT) perlu diterapkan memandangkan hampir setiap industri kini semakin menumpukan kepada IT. 

“Kesedaran dan penerimagunaan Digital PKS adalah suatu yang penting dan juga meneruskan skim yang membiayai latihan, bimbingan dan juga aset digital kepada PKS untuk meningkatkan perniagaan mereka.

“Keperluan untuk melaksanakan pendigitalan adalah paling kritikal, apatah lagi dalam keadaan sekarang, penerimagunaan dan tindakan susulan dalam kalangan PKS masih kurang dan mereka perlu mencari jalan untuk menjual produk dan perkhidmatan mereka menerusi pelbagai saluran.

“PKS membentuk tulang belakang landskap perniagaan negara, jadi insentif Bajet 2022 perlu ditumpukan kepada pemulihan, menambah kemahiran kakitangan dan mengukuhkan perniagaan mereka. 

“Ini juga akan membantu membentuk kerangka baharu dan segera menjadi kerangka perniagaan yang berdaya maju,” kata Gajendran.

Menurutnya, GKK bertemu dengan lebih 700 individu, eksekutif pengurusan atasan dan juga pertengahan, yang menutup perniagaan mereka atau dihentikan kerja disebabkan oleh pandemik itu. 

Dengan pemulihan ekonomi, beliau berkata kebanyakan mereka mahu memulakan semula perniagaan mereka sendiri dan tidak berharap untuk diambil bekerja. 

Justeru semua PKS perlu diwajibkan untuk mendaftar dengan persatuan atau perbadanan PKS berkaitan untuk menikmati pelbagai insentif dan manfaat yang sentiasa ditawarkan kerajaan kepada mereka.  

Menerusi pendaftaran tersebut, statistik jenis perniagaan yang berkembang pasca COVID-19 boleh dipantau serta sektor yang memerlukan bantuan tambahan.

“Selain itu, sudah sampai masanya bagi PKS untuk menyasar menjalankan perniagaan di luar dari Malaysia kerana pada era Internet ini tidak ada sebarang sempadan atau batasan, sasar ke ASEAN bagi peluang pasaran yang lebih besar dan ini yang menawarkan permintaan baharu,” katanya. 

Sumber : BERNAMA