Posted on: 12/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Destinasi pelancongan dan rekreasi di beberapa buah negeri sudah bersedia ‘diserbu’ pengunjung susulan pengumuman kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri bermula semalam.

Beberapa negeri mula membuat persediaan untuk menerima pengunjung bagi merancakkan sektor pelancongan di negeri masing-masing setelah sekian lama industri itu terjejas sejak Mac tahun lepas akibat pandemik COVID-19. 

Di TERENGGANU, negeri itu menyasarkan kedatangan 1.5 juta pelancong hingga akhir Disember depan dan menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri Ariffin Deraman penggiat industri pelancongan dan pengendali hotel, menerima tempahan sangat menggalakkan ketika ini.

“Walaupun tidak lama lagi Terengganu akan mengalami musim tengkujuh, kita sangat mengalu-alukan kedatangan pelancong kerana masih banyak lokasi pelancongan yang beroperasi sepanjang tempoh itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program gotong royong mengindahkan produk pelancongan berasaskan komuniti daerah Kuala Terengganu di Kalang Warisan semalam.

Menurutnya, usaha promosi dilaksanakan kerajaan negeri dan penggiat industri mengenai keistimewaan Terengganu selama ini memberi impak sangat positif dan ramai yang meluahkan kerinduan untuk kembali melancong apatah lagi mereka sudah bosan ‘terkurung’ akibat pandemik.

“Penggiat industri perlu memanfaat sepenuhnya peluang ini untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelancong kerana ia juga adalah strategi pemasaran yang berkesan untuk menarik lebih ramai kedatangan pelancong pada masa akan datang,” katanya.

Di PULAU PINANG, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Yeoh Soon Hin berkata sektor pelancongan terutama industri perhotelan, restoran dan sebagainya sudah bersiap sedia menyambut kedatangan 50,000 pelancong ke negeri itu.

Beliau berkata tempahan bilik hotel juga dijangka meningkat hingga 60 peratus pada hujung minggu ini dan sektor pelancongan negeri itu akan pulih sepenuhnya sekitar Jun tahun depan dengan pelancong asing mula berkunjung kembali ke Pulau Pinang.

“Fokus pelancongan kita hanya disasarkan pada pelancong domestik sekarang ini dan mungkin Jun tahun depan pelancong asing akan kembali ke sini. Jangkaan ini adalah berdasarkan situasi terkini COVID-19 di peringkat global dan kita berharap semua pihak akan terus menjaga SOP dalam usaha bendung penularan wabak COVID-19,” katanya.

Di PERLIS, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata sektor pelancongan bakal memberi impak besar kepada perkembangan ekonomi negeri itu susulan kebenaran rentas negeri dan  turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi SOP. 

“Pelancong menjadikan Perlis sebagai destinasi transit untuk ke Pulau Langkawi dan (apabila) mereka meneroka tempat-tempat menarik di negeri ini, ia bakal memberikan kesan limpahan kepada Perlis,” katanya kepada pemberita di sini.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bermula semalam, kerajaan membenarkan rakyat untuk merentas negeri dan dengan keputusan tersebut, Keluarga Malaysia bebas melakukan  pergerakan terutama balik kampung berjumpa ibu bapa yang telah lama berpisah, melancong dan sebagainya.

Sumber: BERNAMA