Posted on: 12/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Semua pengusaha pengangkutan awam darat, udara dan sektor maritim diminta memastikan penumpang mereka lengkap vaksinasi sebagaimana yang dikehendaki di bawah prosedur operasi standard (SOP) bagi perjalanan rentas negeri, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

“Semua pengusaha perlu memastikan setiap penumpang atau pengguna pengangkutan awam menunjukkan sijil vaksinasi masing-masing bagi membuktikan bahawa mereka sudah lengkap vaksinasi,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata susulan penarikan sekatan perjalanan rentas negeri seperti diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, pengusaha terbabit diingatkan supaya mengelak bersikap puas hati dan perlu sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan di bawah Pelan Pemulihan Negara (NRP).

“SOP lain yang perlu dipatuhi ialah memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan atau menggunakan pensanitasi tangan juga harus dipatuhi tanpa kompromi,” katanya.

Wee berkata pengguna pengangkutan awam turut digalak menjalani ujian saringan COVID-19 kendiri sebelum melakukan perjalanan rentas negeri bagi melindungi diri sendiri, keluarga dan orang di sekeliling mereka.

Perdana Menteri dalam sidang  media khas semalam mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju membenarkan individu  yang sudah lengkap vaksinasi COVID-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula semalam.

Beliau berkata keputusan itu dibuat berikutan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus.

Sumber: BERNAMA