Posted on: 12/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengingatkan kepada semua Penyelia Protokol Penggambaran (PPP) yang dilantik syarikat produksi masing-masing untuk memastikan artis dan kru mematuhi garis panduan ditetapkan.

Unit Komunikasi Korporat FINAS dalam kenyataan hari ini berkata ia susulan terdapat isu tular di portal dan media sosial berhubung kes jangkitan COVID-19 melibatkan syarikat produksi di sebuah lokasi penggambaran.

“Penguat kuasa FINAS telah mengambil langkah proaktif bagi memantau aktiviti penggambaran filem di bawah Surat Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas) di lokasi penggambaran bagi memastikan setiap syarikat produksi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penggambaran digariskan Majlis Keselamatan Negara.

“FINAS telah menyalurkan maklumat dan akan bekerjasama sepenuhnya dengan Kementerian Kesihatan bagi tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan itu.

Unit Penguat Kuasa, Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan FINAS juga telah membuka kertas siasatan berhubung perkara berkenaan dan siasatan penuh akan dijalankan sebelum tindakan seterusnya diambil.

Menurut kenyataan itu, FINAS juga akan memberikan  komitmen dalam menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan pematuhan SOP serta mengalu-alukan sebarang aduan daripada masyarakat sekiranya mendapati berlaku pelanggaran SOP yang melibatkan aktiviti penggambaran.

Sebarang aduan dan pertanyaan lanjut boleh diajukan di talian 03-41041300 (Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan) atau e-mel di info@finas.my.

Sumber: BERNAMA